TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MHO serah memorandum rayuan kemanusiaan kepada Taiwan, mohon kes Shah Iskandar diteliti

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

KUALA LUMPUR 31 Julai – Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menyerahkan memorandum rayuan kemanusiaan kepada wakil Taiwan bagi memohon kes rakyat Malaysia, Muhammad Shah Iskandar, 20, yang kini ditahan di Taiwan, diteliti dari sudut kemungkinan menjadi mangsa eksploitasi sindiket jenayah.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, memorandum berkenaan diserahkan kepada Taipei Economic and Cultural Office (TECO) di Menara Yayasan Tun Razak sebagai satu rayuan kemanusiaan dan bukan bertujuan mencampuri urusan perundangan Taiwan. 

Menurut beliau, pihaknya hadir bagi memohon agar pihak berkuasa Taiwan melihat kes berkenaan secara menyeluruh termasuk latar belakang mangsa serta kemungkinan mereka dieksploitasi oleh pihak tertentu.

"Kita tidak hadir untuk campur tangan dalam hal yang melibatkan kedaulatan undang-undang. Kita menghormati undang-undang negara asing, tetapi kita mempunyai hak untuk merayu dari segi kemanusiaan," katanya.

Hishamuddin berkata, kes Shah Iskandar mempunyai persamaan dengan satu lagi kes rakyat Malaysia yang turut ditahan di Taiwan selepas menerima tawaran pekerjaan sebagai pengawal keselamatan atau bodyguard.

Katanya, kedua-dua kes mempunyai corak sama apabila mangsa didakwa diminta mengeluarkan wang menggunakan kad ATM sebelum ditahan pihak berkuasa Taiwan. 

"Sebagai seorang pekerja, jika majikan meminta mengeluarkan wang menggunakan kad ATM, ia bukan sesuatu yang pelik, lebih-lebih lagi jika mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan," katanya. 

Dalam kes Shah Iskandar, abangnya Eddy berkata adiknya pergi ke Taiwan selepas menerima tawaran pekerjaan sebagai pengiring kepada majikan sebelum ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes pengeluaran wang menggunakan beberapa kad bank.

Menurutnya, Shah Iskandar hanya mengetahui perkara itu menjadi masalah selepas ditahan pihak polis kerana sebelum itu dia menganggap arahan mengeluarkan wang berkenaan sebagai sebahagian daripada tugas pekerjaan.

Eddy mendakwa terdapat beberapa transaksi pengeluaran wang, namun hanya satu transaksi dilakukan oleh adiknya manakala transaksi lain dipercayai dilakukan pihak polis yang menangkapnya.

Katanya, kad bank berkenaan diberikan oleh majikan dan adiknya tidak mengetahui bahawa ia mempunyai kaitan dengan sebarang aktiviti jenayah.

"Kad tu kami tak tahu sapa punya. Bos dia yang bagi, sepatutnya pihak yang memberi kad itu yang bertanggungjawab, bukan adik saya yang hanya menjalankan arahan sebagai pekerja," katanya. 

Hishamuddin berkata, pihaknya berpandangan individu seperti Shah Iskandar dan mangsa lain tidak sepatutnya dilihat sebagai pelaku utama sekiranya benar mereka telah diperdaya sindiket.

"Majikan tersebut jadikan pelaku sebagai keldai akaun, sebagai keldai yang tolong keluarkan duit," jelasnya 

Beliau turut berharap pihak berkuasa Taiwan memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti dalang atau pihak utama yang mengeksploitasi mangsa.

"Kami berharap Taiwan melihat kes ini dalam situasi berbeza. Mereka sepatutnya boleh menjadi saksi untuk membantu siasatan terhadap mastermind sebenar, bukan menanggung segala kesalahan pihak lain," katanya. 

Menurutnya, MHO juga berharap kerajaan Taiwan mempertimbangkan faktor kemanusiaan dan memberi ruang penyelesaian terbaik terhadap rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi.

Sementara itu, Eddy berkata keluarga masih berharap pihak berkuasa Taiwan dapat memberi pertimbangan terhadap kes adiknya yang kini masih belum dijatuhkan hukuman.

Beliau berkata, Shah Iskandar telah melalui dua proses mahkamah dan didakwa membuat pengakuan salah pada proses kedua selepas dipaksa peguam kerajaan Taiwan. 

Namun, menurutnya masih akan ada proses mahkamah rayuan yang akan dibuat pada masa akan datang.

Bagaimanapun, menurutnya, keluarga percaya terdapat perkara yang perlu diperhalusi kerana terdapat transaksi yang didakwa bukan dilakukan oleh adiknya.

Shah Iskandar kini berada di Miaoli Detention Center, manakala seorang lagi individu terlibat dalam kes sama turut ditahan di pusat tahanan berasingan di Taiwan. 

+ - reset