TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Operasi tangkap anjing liar MBDK kecoh; individu dituduh halang tugas, ugut cederakan diri

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM, 31 Julai — Operasi penguatkuasaan menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang bertukar kecoh apabila seorang individu didakwa menghalang tugas anggota serta mengugut untuk mencederakan dirinya.

MBDK menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa kejadian di Jalan Sama Gagah 20 itu berlaku apabila individu terbabit bertindak agresif dengan cuba memotong tali 'loop' yang digunakan untuk menangkap haiwan berkenaan, selain mengugut mencederakan diri jika ia tidak dilepaskan.

Tindakan itu mencetuskan insiden tarik-menarik yang menyukarkan anggota MBDK melonggarkan serta melepaskan peralatan berkenaan demi keselamatan haiwan, menyebabkan anjing terbabit disahkan maut di lokasi kejadian. Pihak polis kemudiannya dipanggil bagi mengawal keadaan yang semakin tegang.

Operasi yang berlangsung dari jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam itu dilaksanakan susulan aduan rasmi penduduk mengenai gangguan keselamatan akibat kebanjiran anjing liar. Seramai 11 kakitangan dan seorang pegawai Jabatan Kesihatan MBDK terbabit dalam operasi itu dengan kerjasama kira-kira 50 penduduk setempat, di mana sebanyak 12 ekor anjing liar berjaya ditangkap.

Susulan insiden berkenaan, MBDK telah membuat laporan polis berhubung tindakan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta ancaman menggunakan senjata tajam bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.

Dalam pada itu, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kematian haiwan peliharaan yang dinamakan 'Rocky' dalam insiden berkenaan. Pihak MBDK menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mengingatkan pemilik haiwan agar lebih bertanggungjawab serta tidak membiarkan peliharaan berkeliaran.

+ - reset