Berita Berita
Malaysia perlu contohi China, MITI perhalusi cadangan capai sasaran 30,000 pengecas awam EV
TANJUNG MALIM 31 Julai – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memperhalusi pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV), termasuk usaha mencapai sasaran penyediaan 30,000 pengecas awam di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan bagi memastikan pembangunan industri EV disokong infrastruktur yang mencukupi.
Beliau berkata, pembangunan industri EV tidak boleh hanya tertumpu kepada menarik pelaburan pengeluar kenderaan, sebaliknya perlu memastikan keseluruhan ekosistem berkembang seiring bagi meningkatkan keyakinan pengguna untuk beralih kepada teknologi itu.
Menurutnya, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif kepada industri EV termasuk pengecualian duti import dan duti eksais, dengan jumlah hasil yang dilepaskan mencecah RM3.3 bilion sepanjang empat tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, pembangunan kemudahan pengecas awam masih belum berkembang pada kadar yang sepatutnya sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna, khususnya mereka yang hanya memiliki sebuah kenderaan.
"Cabaran ini lebih ketara bagi penduduk yang tinggal di pangsapuri dan kondominium kerana banyak bangunan tidak mempunyai kapasiti bekalan elektrik yang mencukupi untuk pemasangan pengecas AC di setiap unit kediaman," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan model pemasangan tempatan (CKD) Proton e.MAS7 PHEV di sini, hari ini.
Johari berkata, kerajaan tidak menolak pembangunan EV kerana teknologi itu, termasuk kenderaan hibrid, merupakan masa depan industri automotif, namun pelaksanaannya perlu disokong perancangan yang realistik dan menyeluruh.
Beliau berkata, kejayaan penggunaan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) selama ini disokong oleh rangkaian infrastruktur yang dibangunkan sejak berdekad lamanya.
Katanya, Malaysia kini mempunyai kira-kira 3,500 stesen minyak di seluruh negara dengan sekitar 35,000 pam bahan api, sekali gus menunjukkan kepentingan infrastruktur dalam menyokong penggunaan sesuatu teknologi.
"Kejayaan sesuatu teknologi bukan sekadar bergantung kepada jualan kenderaan, sebaliknya memerlukan rangkaian kemudahan yang memberi keyakinan kepada pengguna.
"Atas sebab itu, pembangunan EV tidak boleh mendahului kesediaan ekosistem kerana pengguna perlu mengetahui lokasi pengecas awam yang mencukupi, sama ada bagi perjalanan dalam bandar mahupun dari Johor hingga Perlis," katanya.
Johari berkata, Malaysia juga perlu mengambil iktibar daripada kejayaan China membangunkan industri EV yang bukan sahaja disokong insentif kepada pengeluar dan pembeli, malah pelaburan kerajaan bernilai berbilion dolar untuk membina rangkaian pengecas awam.
Sehubungan itu, beliau berkata, MITI akan mengadakan perbincangan dengan TNB bagi menilai keperluan penyediaan pencawang elektrik serta bekalan kuasa yang mencukupi bagi menyokong pembinaan lebih banyak pengecas awam di seluruh negara.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 6:33 pm
BN-PN diramal rampas Negeri Sembilan, berpotensi raih majoriti dua pertiga
July 31, 2026, 5:58 pm
Tokoh kebajikan, pejuang batik Datuk Leela Mohd Ali meninggal dunia
July 31, 2026, 4:02 pm
Operasi tangkap anjing liar MBDK kecoh; individu dituduh halang tugas, ugut cederakan diri
July 31, 2026, 3:49 pm
Pemuda melecur pacuan empat roda terbakar di LPT2 ketika ke RXZ Members 8.0
July 31, 2026, 2:44 pm
PH nafi ganjaran wang untuk pengundi di PRN Negeri Sembilan
July 31, 2026, 2:39 pm
Penunggang motosikal maut nahas di LPT 1 dalam perjalanan ke RXZ Members 8.0
July 31, 2026, 2:36 pm
