Berita Berita
Tiada bahagian yang disorok dalam laporan penuh RCI Tabung Haji, rakyat berhak tahu perkara sebenar - Anwar
SEREMBAN 31 Julai - Kerajaan akan mendedahkan keseluruhan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) tanpa menyorok atau memotong mana-mana bahagian, termasuk nama individu yang terbabit, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya laporan penuh itu diterbitkan bersama syor serta proses yang dilalui sepanjang siasatan.
"Kita akan terbitkan keseluruhannya. Laporan, rekomendasi dan proses-proses yang diambil (semasa siasatan). Tidak ada mana-mana aspek dalam laporan itu akan dipotong," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Qaryah Paroi Jaya, di sini, hari ini.
Anwar berkata, seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam perlu diberi peluang meneliti keseluruhan laporan itu supaya ia dapat dijadikan pengajaran.
"Saya rasa seluruh rakyat Malaysia harus diberi peluang untuk melihat keseluruhannya (laporan RCI) sebagai pengajaran. Yang disiasat dan didakwa, itu proses berikutnya," katanya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan mendapat kerjasama daripada kepimpinan UMNO, termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam usaha mendedahkan laporan berkenaan.
Menurut Anwar, mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab tetap perlu melalui proses siasatan dan pendakwaan mengikut lunas undang-undang.
"Yang bertanggungjawab mesti disiasat dan didakwa jika perlu mengikut proses pendakwaan," katanya.
Beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap apa yang berlaku dalam pengurusan TH, yang disifatkannya sebagai institusi Islam yang diberikan amanah oleh rakyat.
"Secara terperincinya biarlah orang ramai membacanya dan kemudian dibahaskan, disusuli tindakan lanjut yang diambil," katanya.
Krisis kewangan TH bermula susulan isu ketidakpadanan aset dan liabiliti yang membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan berskala besar sebelum kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit membabitkan tempoh 2014 hingga 2020.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 6:33 pm
BN-PN diramal rampas Negeri Sembilan, berpotensi raih majoriti dua pertiga
July 31, 2026, 5:58 pm
Tokoh kebajikan, pejuang batik Datuk Leela Mohd Ali meninggal dunia
July 31, 2026, 5:21 pm
Malaysia perlu contohi China, MITI perhalusi cadangan capai sasaran 30,000 pengecas awam EV
July 31, 2026, 4:02 pm
Operasi tangkap anjing liar MBDK kecoh; individu dituduh halang tugas, ugut cederakan diri
July 31, 2026, 3:49 pm
Pemuda melecur pacuan empat roda terbakar di LPT2 ketika ke RXZ Members 8.0
July 31, 2026, 2:44 pm
PH nafi ganjaran wang untuk pengundi di PRN Negeri Sembilan
July 31, 2026, 2:39 pm
Penunggang motosikal maut nahas di LPT 1 dalam perjalanan ke RXZ Members 8.0
July 31, 2026, 2:36 pm
