TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

BN-PN diramal rampas Negeri Sembilan, berpotensi raih majoriti dua pertiga

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Julai – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diunjurkan merampas pentadbiran Negeri Sembilan dengan memenangi sekurang-kurangnya 22 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, menurut Ilham Centre.

Pusat kajian itu turut berpandangan gabungan BN-PN berpotensi memperoleh majoriti dua pertiga sekiranya berjaya memenangi beberapa daripada lima kerusi yang masih dianggap sengit.

Menurut unjuran itu, Pakatan Harapan (PH) dijangka memenangi sekurang-kurangnya sembilan kerusi DUN, manakala lima lagi kerusi iaitu Chennah, Linggi, Nilai, Repah dan Temiang masih terlalu sengit untuk diramalkan.

Ilham Centre berkata, sekiranya BN dan PN berjaya menawan beberapa daripada lima kerusi berkenaan, gabungan itu mampu melepasi 24 kerusi yang diperlukan bagi memperoleh majoriti dua pertiga dalam DUN Negeri Sembilan.

Katanya, unjuran itu dipengaruhi oleh pengukuhan sokongan pengundi Melayu kepada BN dan PN, dengan politik identiti Melayu-Islam muncul sebagai faktor utama yang membentuk corak pengundian sepanjang kempen.

Menurut pusat kajian itu, kempen kali ini tidak lagi tertumpu kepada rekod pentadbiran, pembangunan atau prestasi kerajaan semata-mata, sebaliknya beralih kepada isu identiti seperti agama, kedudukan orang Melayu dan kuasa politik Melayu.

Ilham Centre turut mendapati kerjasama antara BN dan PN menghasilkan pemindahan undi yang lebih kukuh daripada jangkaan awal.

Katanya, kira-kira 92 peratus penyokong PN dianggarkan mengundi calon BN di kerusi yang ditandingi BN, manakala sekitar 75 peratus penyokong BN dijangka mengundi calon PN.

"Perbezaan ini menggambarkan masih terdapat sebahagian penyokong tradisi BN yang mengambil masa menyesuaikan diri dengan formula kerjasama baharu, khususnya di kawasan yang sebelum ini menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua parti.

"Namun demikian, jurang perpindahan undi itu tidak menjejaskan objektif utama kerjasama berkenaan," menurut laporan itu.

Ilham Centre berkata, perkembangan itu meletakkan PH dalam kedudukan sukar di kawasan majoriti Melayu apabila gabungan itu dianggarkan hanya memperoleh sekitar 18 peratus sokongan daripada pengundi Melayu.

Menurutnya, PH juga gagal menawarkan naratif balas yang mampu menandingi daya tarikan kempen berasaskan identiti walaupun mengetengahkan rekod pentadbiran, tadbir urus dan pencapaian kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kekal popular secara peribadi dengan kadar kelulusan sekitar 75 peratus, namun populariti itu tidak diterjemahkan kepada sokongan lebih meluas terhadap PH.

Katanya, keputusan Aminuddin berpindah daripada kerusi Sikamat ke DUN Linggi yang lebih mencabar turut memaksanya menumpukan sebahagian besar kempen bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Proses pengundian PRN Negeri Sembilan akan berlangsung esok di 401 pusat mengundi membabitkan 103 calon yang bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN.

PH bertanding di semua 36 kerusi, diikuti BN (25), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak 24 kerusi, PN (11), empat calon Bebas, manakala Parti Berjasa, Parti Orang Asli Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia masing-masing meletakkan seorang calon.

+ - reset