TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tokoh kebajikan, pejuang batik Datuk Leela Mohd Ali meninggal dunia

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 31 Julai – Tokoh kebajikan dan pejuang warisan batik negara, Datuk Leela Mohd Ali, meninggal dunia pagi ini pada usia 86 tahun.

Allahyarham dikenali menerusi sumbangannya dalam bidang kebajikan, pembangunan masyarakat serta usaha memartabatkan batik Malaysia sebagai warisan dan identiti negara.

Setakat ini, punca kematian belum diumumkan, manakala urusan pengebumian dijangka dimaklumkan oleh keluarga dalam masa terdekat.

Pemergian Allahyarham turut dikongsi bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Beliau berkata, jasa, kasih sayang dan keprihatinan Allahyarham terhadap masyarakat akan terus dikenang.

"Saya akan sentiasa menghargai saat-saat bermakna, termasuk nasihat dan keprihatinan tulus yang dikongsikan Allahyarham bersama kami," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Leela merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) dan pernah memegang jawatan Yang Dipertua Persatuan Batik Malaysia.

Beliau memainkan peranan penting dalam mempromosikan batik sebagai sebahagian daripada warisan budaya dan identiti Malaysia.

Allahyarham mendapat latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Bukit Gelugor, Pulau Pinang dalam bidang pendidikan jasmani dan sejarah sebelum memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Kangsar.

Minatnya dalam bidang sukan turut menyaksikan beliau mewakili Pulau Pinang dan Perak dalam sukan hoki.

Dalam bidang akademik, Allahyarham memperoleh Diploma Teaching English as a Second Language (TESL) sebelum berkhidmat di sebuah institut bahasa di Kuala Lumpur dan kemudian sebagai pensyarah pendidikan guru di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau kemudiannya menyertai Kementerian Pendidikan dan bersara pada 1994 sebagai Penolong Pengarah di Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional yang bertanggungjawab terhadap bidang Bahasa Inggeris.

Sepanjang hayatnya, Leela turut dikenali menerusi peranannya menerajui Yayasan Budi Penyayang serta meneruskan usaha Allahyarham Tun Endon Mahmood dalam memperkasakan seni dan warisan tekstil tradisional negara, khususnya batik.

+ - reset