TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Strategi Penyatuan Ummah Abdul Hadi terbukti masih relevan dalam PRN N Sembilan - PAS

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuktikan strategi Penyatuan Ummah yang diperkenalkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, masih relevan dan terus mempengaruhi corak sokongan politik negara.

Ketua DMPM, Nuridah Salleh berkata, keputusan itu perlu dinilai secara jujur dan objektif kerana kerjasama yang dibina berasaskan titik persamaan mampu meningkatkan daya saing politik serta menawarkan pilihan yang lebih kukuh kepada rakyat.

"Di sebalik pelbagai naratif yang cuba dibina oleh pihak tertentu, hakikat strategi penyatuan ummah terus membuktikan bahawa ia bukan sekadar slogan politik, tetapi satu gagasan yang mempunyai kesan besar terhadap landskap politik negara.

"Gagasan penyatuan ummah yang dicetuskan Presiden PAS apabila beliau melihat jauh melangkaui kepentingan sempit parti politik dengan meletakkan kepentingan Islam, penyatuan umat serta kestabilan negara sebagai keutamaan," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Pada PRN Negeri Sembilan semalam, gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memenangi 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus melepasi majoriti dua pertiga yang memerlukan sekurang-kurangnya 24 kerusi.

Daripada jumlah itu, BN memenangi 18 kerusi, PN tujuh kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 11 kerusi.

Sebagai perbandingan, pada PRN 2023, BN memenangi 14 kerusi, PH 17 kerusi dan PN lima kerusi.

Nuridah berkata, analisis terhadap keputusan pilihan raya itu perlu dibuat secara jujur kerana masih terdapat pihak yang terperangkap dalam politik permusuhan sesama umat Islam.

"Dalam keadaan masih wujud politik permusuhan sesama umat Islam, Abdul Hadi mengemukakan pendekatan yang lebih jauh pandang dengan meletakkan kepentingan Islam, penyatuan umat dan negara mengatasi kepentingan politik sempit.

"Sejarah membuktikan strategi ini mengubah landskap politik negara sehingga menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020, selain menyaksikan beberapa tokoh politik yang sebelum ini dianggap kebal berjaya ditewaskan," katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu turut menyaksikan beberapa tokoh politik yang sebelum ini dianggap kebal berjaya ditewaskan, selain kubu-kubu kuat lawan tidak lagi kekal utuh seperti yang pernah didakwa.

"PRN Negeri Sembilan memperlihatkan kerjasama yang berasaskan titik persamaan mampu meningkatkan daya saing politik dan menawarkan pilihan yang lebih kukuh kepada rakyat.

"Ini adalah bukti politik matang yang mengutamakan kepentingan agama, rakyat dan negara mempunyai tempat dalam hati pengundi.

"Justeru, adalah tidak wajar jasa dan kebijaksanaan strategi ini dipadamkan daripada sejarah. Tokoh yang mencetuskan gagasan sebesar ini sewajarnya diberikan pengiktirafan yang setimpal," katanya.

Menurut beliau, Abdul Hadi telah memperkenalkan satu pendekatan yang meninggalkan kesan besar terhadap landskap politik Malaysia menerusi gagasan Penyatuan Ummah.

Dalam masa sama, DMPM turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti dari seluruh negara yang membantu sepanjang gerak kerja kempen PRN Negeri Sembilan.

"Kami juga ingin menggesa seluruh ahli dan pendukung supaya terus memperkukuhkan semangat penyatuan, memperluaskan kerjasama yang membawa manfaat kepada rakyat, serta menolak politik kebencian yang hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu.

"Penyatuan bukan bererti mengorbankan prinsip, tetapi mengangkat kepentingan Islam dan negara mengatasi kepentingan politik yang sempit," katanya.

+ - reset