TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Kalah, tapi Cina belum tinggalkan DAP' - Ti Lian Ker

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menunjukkan DAP masih berjaya mengekalkan sebahagian besar sokongan pengundi Cina, meskipun wujud tanggapan bahawa kumpulan pengundi itu telah beralih daripada Pakatan Harapan (PH).

Bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker berkata, DAP memenangi sembilan daripada 11 kerusi yang diraih PH, walaupun komponen lain dalam gabungan itu mencatatkan prestasi yang lebih lemah.

Menurut beliau, kekalahan tipis Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah selepas tiga penggal juga tidak boleh dianggap sebagai petanda pengundi Cina telah menolak parti itu.

Kerusi campuran Chennah mempunyai komposisi pengundi Melayu sebanyak 47.8 peratus, diikuti Cina (42.6 peratus), Orang Asli (6.3 peratus) dan India (2 peratus).

Loke tewas kepada calon MCA, Siow Kong Choon dengan majoriti 688 undi dalam pertandingan satu lawan satu.

Ti berkata, walaupun terdapat perubahan sentimen terhadap PH, perubahan itu tidak berlaku secara sama rata dalam kalangan semua kelompok pengundi.

“Satu mesej yang tidak boleh dinafikan: Undi Cina masih merupakan benteng utama DAP. Walaupun terdapat perubahan sentimen terhadap PH, ia tidak berlaku secara sama rata di semua kelompok pengundi.

“Cina belum meninggalkan DAP. Tetapi DAP juga tidak lagi boleh menganggap undi Cina sebagai jaminan automatik.

“PH jelas mengalami masalah besar dalam mendapatkan sokongan Melayu. Tanpa peningkatan sokongan Melayu, kekuatan DAP di kawasan Cina mungkin tidak cukup untuk membawa PH kembali berkuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bekas Timbalan Menteri itu berkata, ramai pengundi Melayu masih tidak melihat DAP sebagai sebuah parti sederhana walaupun parti itu berada dalam PH bersama pemimpin Melayu daripada PKR dan Amanah.

Menurutnya, DAP memerlukan lebih daripada dua penggal pilihan raya untuk mengubah imej chauvinis yang terbina sejak beberapa dekad lalu, walaupun berlaku perubahan kepimpinan apabila Loke dan barisan pemimpin baharu membawa pendirian yang lebih sederhana.

Loke mula dipilih sebagai Setiausaha Agung DAP pada 2022, menggantikan Lim Guan Eng yang memegang jawatan itu selama 18 tahun.

+ - reset