Berita Berita
'Amanah besar akan dipikul' - PAS cipta sejarah pertama kali tadbir Negeri Sembilan sejak merdeka
SEREMBAN 2 Ogos - PAS Negeri Sembilan menyifatkan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 sebagai satu amanah besar selepas berjaya mencipta sejarah apabila pertama kali menjadi sebahagian daripada blok pentadbiran negeri.
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, sepanjang sejarah pentadbiran negeri sejak merdeka, PAS sebelum ini sentiasa berada di blok pembangkang berikutan jumlah kerusi yang dimenangi di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kecil.
Bagaimanapun, katanya, keputusan PRN kali ini menyaksikan PAS bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan selepas memperoleh majoriti kerusi DUN.
Beliau berkata, PAS Negeri Sembilan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat serta pengundi negeri itu yang memberikan sokongan dan kepercayaan kepada PAS dan PN.
"Keputusan rakyat memberikan kemenangan kepada PAS di DUN Serting, Paroi, Bagan Pinang dan Ampangan adalah satu amanah besar yang akan dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab, berintegriti dan istiqamah.
"PAS Negeri Sembilan mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera parti termasuk sokongan utama daripada negeri-negeri yang membantu, petugas pilihan raya, sukarelawan, penyokong serta semua pihak yang bertungkus-lumus sepanjang kempen sehingga ke hari pengundian," katanya.
Menurut Mohd Fairuz, pengorbanan serta komitmen yang ditunjukkan semua pihak menjadi tunjang kekuatan utama kepada perjuangan PAS dalam PRN berkenaan.
Beliau berkata, PAS Negeri Sembilan akan memainkan peranan berkesan sebagai sebahagian daripada pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan bersama BN, selain memastikan wakil rakyat parti itu menjalankan tanggungjawab membela kebajikan rakyat.
"PAS Negeri Sembilan beriltizam akan memainkan peranan yang berkesan sebagai pentadbir Kerajaan Negeri Sembilan bersama BN, sebagai wakil rakyat yang berwibawa, membela kebajikan rakyat, mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negeri serta membawa suara rakyat dengan penuh amanah di DUN," katanya.
Mohd Fairuz turut berharap agar PAS Negeri Sembilan diberikan kekuatan dan petunjuk dalam melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat.
Berita berkaitan
August 2, 2026, 11:36 pm
Peserta RXZ Members 8.0 maut langgar Triton, angka korban meningkat enam orang
August 2, 2026, 10:02 pm
Jasad pendaki legenda Nirmal Purja ditemukan pada ketinggian 5,700 meter di Broad Peak
August 2, 2026, 7:30 pm
Dikejar anjing liar, lelaki koma kepala terhentak di jalan selepas motosikal terbabas
August 2, 2026, 2:25 pm
Menang PRN, MB Negeri Sembilan umum cuti peristiwa esok
August 2, 2026, 1:39 pm
'Kalah, tapi Cina belum tinggalkan DAP' - Ti Lian Ker
August 2, 2026, 1:22 pm
Strategi Penyatuan Ummah Abdul Hadi terbukti masih relevan dalam PRN N Sembilan - PAS
August 2, 2026, 11:44 am
