TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Peserta RXZ Members 8.0 maut langgar Triton, angka korban meningkat enam orang

By
|
Kongsi
image

 

DUNGUN 2 Ogos - Perhimpunan RXZ Members 8.0 meragut satu lagi nyawa apabila seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Bukit Besi di sini, pada Ahad.

Insiden itu menjadikan jumlah kematian yang dikaitkan dengan perjalanan menghadiri program RXZ Members 8.0 meningkat kepada enam orang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, kemalangan berlaku di Kilometer 356, LPT2 arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan kira-kira jam 4.55 petang.

Menurut beliau, mangsa dikenali sebagai Arissa Shazzira Zainudin, 21, yang berasal dari Taman Bukit Goh Perdana, Kuantan, Pahang.

"Pihak polis menerima makluman daripada orang awam berhubung insiden kemalangan jalan raya berkenaan jam 5.10 petang.

"Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR yang ditunggangi mangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Nik Ab Halim berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan itu datang dari arah Kuala Terengganu selepas menghadiri Program RXZ Members 8.0.

Katanya, pemandu Mitsubishi Triton dalam perjalanan pulang ke Ampang, Selangor, manakala mangsa menuju ke Kuantan, Pahang.

"Siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton itu berhenti di lorong kecemasan untuk berehat.

"Bagaimanapun, motosikal jenis Yamaha 125ZR yang ditunggangi mangsa tiba-tiba datang dari arah belakang lalu melanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan.

"Akibat rempuhan kuat itu, mangsa telah tercampak ke tengah-tengah jalan raya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

+ - reset