TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jasad pendaki legenda Nirmal Purja ditemukan pada ketinggian 5,700 meter di Broad Peak

By
|
Kongsi
image

 

ISLAMABAD 2 Ogos - Pasukan penyelamat Pakistan berjaya menemukan dan mengeluarkan jasad pendaki gunung terkenal dunia, Nirmal Purja, yang terkorban dalam tragedi runtuhan salji di Broad Peak baru-baru ini.

Kelab Alps Pakistan mengesahkan jasad pendaki Britain kelahiran Nepal berusia 43 tahun itu ditemukan pada ketinggian kira-kira 5,700 meter di Broad Peak, gunung ke-12 tertinggi di dunia yang terletak di banjaran Karakoram.

Menurut kelab itu, tiga lagi mayat turut ditemukan berhampiran lokasi sama, namun identiti mereka masih belum dikenal pasti.

Pasukan penyelamat kini sedang membawa semua mayat yang ditemukan ke Kem Jepun bagi menjalani proses pengurusan selanjutnya.

Purja mengetuai satu ekspedisi pendakian antarabangsa yang terputus hubungan selepas runtuhan salji melanda kawasan antara kem pendakian di Broad Peak pada Khamis lalu.

Syarikat miliknya, Elite Exped, kemudian mengesahkan bahawa beliau bersama sembilan lagi anggota ekspedisi terkorban dalam tragedi tersebut.

Antara mangsa yang telah dikenal pasti ialah Mallory Geis, Nadhira Ahmed Abdullah Al Harthy dan Pur Bahadur Gurung.

Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah menyifatkan tragedi yang meragut nyawa enam pendaki Nepal dan empat pendaki asing itu sebagai satu kehilangan besar kepada komuniti pendakian dunia.

Purja pernah berkhidmat selama 16 tahun dalam Tentera British, termasuk sedekad bersama pasukan khas sebelum mencipta sejarah dunia pada 2019 apabila berjaya menawan kesemua 14 gunung melebihi 8,000 meter dalam tempoh hanya 189 hari.

Pencapaian luar biasanya itu kemudian didokumentasikan menerusi 14 Peaks: Nothing Is Impossible, sekali gus melonjakkan namanya sebagai antara pendaki paling berpengaruh di dunia.

Pemergian beliau turut mendapat perhatian antarabangsa, termasuk daripada Prince William yang menyifatkan Purja sebagai antara pendaki gunung terhebat dunia serta seorang tokoh yang menjadi inspirasi kepada ramai.

+ - reset