TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Kalau nak kalah, buatlah PRU16 secara mengejut' - Hassan Karim nasihat PKR tawan hati rakyat semula, jangan gopoh

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan supaya tidak tergesa-gesa mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) ketika parti itu masih berdepan kesan kekalahan dalam beberapa pilihan raya negeri baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, langkah membubarkan Parlimen dalam masa terdekat berisiko menjejaskan peluang PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk terus menerajui kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, keputusan pilihan raya di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan PKR masih memerlukan masa untuk menyusun semula strategi sebelum berdepan PRU16.

“Jangan menangis PKR. Anda parti reformasi. Kita orang perjuangan. Kita berani berjuang, berani menang dan berani kena tendang.

"Cakap baik-baik pada Anwar Ibrahim dari perspektif strategi politik pilihan yang tepat agar Kerajaan Madani mentadbir kerajaan Pusat hingga tempoh penuh, seandainya PKR dan Pakatan Harapan (PH) hendak menang dalam PRU16.

"Kalau nak kalah, buatlah PRU16 secara mengejut supaya PKR terutamanya mati terkejut!," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Hassan berkata, Kerajaan MADANI wajar diberi peluang menamatkan penggal pentadbiran sehingga tempoh mandat penuh sebelum mempertimbangkan pembubaran Parlimen.

Beliau berpandangan tempoh antara 12 hingga 18 bulan mampu memberi ruang kepada kerajaan memperkukuh ekonomi negara, menarik lebih banyak pelaburan asing langsung (FDI) serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran semasa.

Katanya, PKR juga memerlukan masa untuk berehat selepas melalui beberapa siri pilihan raya sebelum menyusun strategi baharu bagi menghadapi PRU16.

Dalam kenyataan itu, Hassan turut merujuk keputusan beberapa pilihan raya negeri yang menyaksikan prestasi PKR dan PH merosot.

Di Negeri Sembilan, PH hanya memenangi 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BN memperoleh 18 kerusi dan PN tujuh kerusi.

Di Johor pula, BN menguasai 48 daripada 56 kerusi DUN, sementara PH memenangi lapan kerusi termasuk satu kerusi milik PKR di DUN Puteri Wangsa.

Di Sabah, PKR yang meletakkan 12 calon hanya berjaya memenangi satu kerusi, iaitu di DUN Melalap.

Hassan berkata, keadaan ekonomi yang lebih baik dalam tempoh setahun hingga satu setengah tahun akan datang dijangka memberi kelebihan kepada PH sekiranya rakyat mula merasai kesan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

"Dalam tempoh itu, keletihan rakyat sebagai pengundi akan beransur hilang dan momentum parti-parti lawan akan berkurangan kerana masa. Tidakkah masa itu merawat luka?

"Dari segi ekonomi pun baik bagi PKR dan PH, jika ada tempoh yang panjang misalnya 12 hingga 18 bulan.

"Dalam waktu panjang itu, banyak pelaburan asing (FDI) yang baik-baik untuk negara ini boleh masuk.

"Saya percaya dalam tempoh setahun lebih ini sebelum PRU16, kegelisahan dan kemarahan rakyat akan reda apabila dasar-dasar ekonomi makro Anwar Ibrahim menghasilkan kesan yang melegakan rakyat di semua lapisan dan golongan.

"Ketika itu bubarkanlah Parlimen ke-15 apabila rakyat telah nampak ekonomi Malaysia sebenarnya berada di landasan yang betul," katanya.

+ - reset