Berita Berita
Dikejar anjing liar, lelaki koma kepala terhentak di jalan selepas motosikal terbabas
KLANG 2 Ogos - Kebanjiran anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah di sini didakwa hampir meragut nyawa seorang pemuda apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas selepas dikejar sekumpulan haiwan itu, bulan lalu.
Dalam kejadian antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi pada 13 Julai lalu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli makanan di sebuah kedai berhampiran.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, mangsa dikejar kira-kira enam ekor anjing liar sejauh hampir 100 meter sebelum hilang kawalan ketika melalui bonggol jalan lalu terjatuh sehingga kepalanya terhentak pada permukaan jalan.
Menurutnya, penduduk yang berada berhampiran segera menghalau anjing-anjing tersebut sebelum memberikan bantuan kepada mangsa.
"Akibat kecederaan parah di kepala, mangsa koma lebih seminggu dan terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala di Hospital Tengku Ampuan Rahimah," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau berkata, mangsa kini dilaporkan telah sedar daripada koma dan dipindahkan ke wad, namun masih menerima rawatan serta dipantau rapi oleh pasukan perubatan.
Ahmad mendakwa masalah anjing liar di taman perumahan itu sudah berlarutan hampir dua tahun sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Katanya, selain mangsa, beliau sendiri pernah dikejar anjing liar dan menyifatkan keadaan itu membahayakan keselamatan penduduk, terutama kanak-kanak serta warga emas.
"Setakat ini memang belum ada kes gigitan, tetapi insiden ini membuktikan anjing liar tetap boleh mengundang tragedi," katanya.
Susulan kejadian itu, Ahmad berkata beliau telah membuat aduan kepada Ahli Majlis Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serta Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri bagi mendesak tindakan segera diambil.
Beliau berharap operasi menangkap anjing liar dapat dipergiatkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan menjamin keselamatan penduduk.
Mengulas insiden kekecohan ketika operasi menangkap anjing liar baru-baru ini sehingga menyebabkan seekor anjing mati, Ahmad mendakwa haiwan berkenaan dipercayai mempunyai pemilik tetapi dibiarkan berkeliaran.
"Kebanyakan anjing yang bertuan ditambat atau dipelihara di dalam kawasan rumah. Saya tidak tahu mengapa anjing itu dibiarkan bebas," katanya.
Terdahulu, dilaporkan operasi menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Jalan Sama Gagah 20 bertukar kecoh apabila seorang individu didakwa mengugut anggota penguat kuasa menggunakan sebilah pisau selain menghalang operasi tersebut.
Berita berkaitan
August 2, 2026, 11:36 pm
Peserta RXZ Members 8.0 maut langgar Triton, angka korban meningkat enam orang
August 2, 2026, 10:02 pm
Jasad pendaki legenda Nirmal Purja ditemukan pada ketinggian 5,700 meter di Broad Peak
August 2, 2026, 2:25 pm
Menang PRN, MB Negeri Sembilan umum cuti peristiwa esok
August 2, 2026, 1:39 pm
'Kalah, tapi Cina belum tinggalkan DAP' - Ti Lian Ker
August 2, 2026, 1:22 pm
Strategi Penyatuan Ummah Abdul Hadi terbukti masih relevan dalam PRN N Sembilan - PAS
August 2, 2026, 11:44 am
