TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rafizi dakwa kerajaan Madani belum lunaskan komitmen RM12.5 bilion kepada Tabung Haji

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Kerajaan Madani masih belum melunaskan sepenuhnya komitmen kewangan berjumlah RM12.5 bilion yang dipersetujui bagi memulihkan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH).

Presiden Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu berkata, kerajaan sepatutnya menebus keseluruhan jumlah berkenaan kepada TH sama ada melalui pembayaran tunai atau aset yang mempunyai nilai setara.

Menurutnya, langkah itu penting bagi menggantikan aset TH bernilai RM12.5 bilion yang sebelum ini hanya berupa aset atas kertas tanpa aliran tunai, iaitu sukuk Urusan Jamaah Sdn Bhd (UJSB), kepada aset lebih cair dan mampu menjana aliran tunai seperti wang, saham serta hartanah.

Bagaimanapun, Rafizi berkata daripada keseluruhan RM12.5 bilion yang perlu dilunaskan, hanya RM965 juta diselesaikan dalam bentuk hartanah, membabitkan sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) serta tanah-tanah ladang di Sarawak.

Katanya, baki kira-kira RM11.5 bilion pula dilunaskan menerusi penerbitan satu lagi sukuk baharu yang mempunyai tempoh matang selama 10 tahun.

Ini bermakna, katanya, kerajaan perlu membayar semula RM11.5 bilion kepada TH pada 2036.

“Sepanjang saya menjadi Menteri Ekonomi, saya ingat kerajaan memang membuat peruntukan lebih dari RM1 bilion setahun untuk melunaskan sukuk UJSB ini bila matang pada 29 Mei 2026.

“Oleh itu, sewajarnya perbahasan Parlimen esok mendapat penjelasan yang berterus terang daripada kerajaan ke mana wang berbilion yang diperuntukkan selama ini untuk memulihkan Tabung Haji telah pergi?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Rafizi memberi peringatan bahawa TH berpotensi berdepan risiko kecairan aset dan aliran tunai pada masa hadapan sekiranya kerajaan semasa dan kerajaan akan datang terus menangguhkan komitmen pembayaran sukuk UJSB.

Beliau berkata, keadaan itu boleh berlaku sekiranya sukuk berkenaan terus digantikan dengan instrumen hutang baharu, sekali gus hanya memindahkan liabiliti dari satu tempoh ke tempoh berikutnya.

+ - reset