TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mahkamah Tinggi benarkan Rosmah tangguh bayar RM67.46 juta isu 43 barang kemas

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menangguhkan pembayaran RM67.46 juta kepada syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Marianne Antoinette Ghani, bagaimanapun memerintahkan isteri bekas Perdana Menteri itu memasukkan jumlah berkenaan ke dalam akaun bersama yang dipegang oleh kedua-dua pihak dalam tempoh satu bulan dari tarikh keputusan.

Menurut beliau, arahan tersebut bertujuan melindungi hak Global Royalty sekiranya rayuan Rosmah ditolak, selain memastikan dana tersebut kekal di Malaysia. Pada masa sama, wang berkenaan akan dikembalikan kepada Rosmah jika rayuannya berjaya.

Sebelum ini pada 10 Jun lalu, Mahkamah Tinggi menerusi Hakim Datuk Quay Chew Soon mendapati Rosmah bertanggungjawab terhadap kehilangan 43 barang kemas yang diterima secara konsainan pada 2018. Mahkamah memutuskan wujud kes prima facie bahawa beliau cuai dan gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai pemegang amanah untuk memastikan keselamatan barang kemas tersebut.

Ekoran itu, Rosmah diperintahkan membayar tuntutan bernilai RM67,461,027.37 (bersamaan AS$14.5 juta).

Tindakan undang-undang ini bermula pada 29 Mac 2023 apabila Global Royalty memfailkan saman dengan mendakwa Rosmah memberi gambaran salah bahawa barangan mewah tersebut—termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang, dan tiara—telah dirampas pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa hanya satu daripada 44 barangan tersebut yang berada dalam simpanan polis, manakala baki 43 lagi tidak pernah berada dalam jagaan pihak berkuasa dan kekal tidak dapat dikesan.

+ - reset