TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

​​​​​​​Pemegang pasport melebihi 10 tahun diberi keutamaan gantian percuma

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Pemegang Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberi keutamaan untuk mendapatkan pasport gantian secara percuma.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pasport gantian yang dikeluarkan itu akan mempunyai tempoh sah laku maksimum 10 tahun.

"Pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun dan mereka akan diberikan keutamaan," katanya dalam satu kenyataan.

Langkah ini diambil berkuat kuasa serta-merta susulan isu tular membabitkan kesulitan perjalanan yang dihadapi beberapa pemegang PMA berkenaan di luar negara, khususnya ketika berurusan mendaftar masuk (check-in) dengan syarikat penerbangan.

Bagi menangani isu tersebut, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warganegara Malaysia yang terjejas di luar negara.

Zakaria menjelaskan, keputusan menetapkan tempoh sah laku maksimum PMA kepada 10 tahun adalah bagi menyeragamkan pelaksanaannya serta mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku minimum enam bulan untuk perjalanan antarabangsa.

Sehubungan itu, pengeluaran PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun telah dihentikan sementara sehingga isu penyeragaman ini diselesaikan bersama pihak syarikat penerbangan dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

+ - reset