TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerugian RM13 bilion Tabung Haji: PGIRM desak jaminan, ketelusan dan akauntabiliti buat pendeposit

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menggesa kerajaan memberikan jaminan bertulis serta penjelasan telus berhubung akauntabiliti pengurusan berikutan pendedahan kerugian hampir RM13 bilion yang melibatkan 14 pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH).

Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir berkata, walaupun pihaknya menghargai keterbukaan Kementerian Kewangan mendedahkan perkara itu, pendedahan berkenaan membangkitkan persoalan utama mengenai pihak yang sepatutnya bertanggungjawab atas kelemahan tadbir urus dan keputusan pelaburan masa lalu.

"Kerajaan sendiri mengakui kerugian RM10.2 bilion ditanggung menerusi Urusharta Jamaah pada 2018, manakala RM2.6 bilion merupakan rosot nilai yang ditanggung TH antara 2018 hingga 2025.

"Menyelamatkan institusi penting ini sememangnya perlu demi melindungi kepentingan pendeposit, namun langkah itu tidak seharusnya bermakna persoalan akauntabiliti diketepikan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, PGIRM mengemukakan lima tuntutan utama kepada kerajaan:

  1. Mengesahkan secara terbuka bahawa setiap ringgit simpanan pendeposit TH dijamin sepenuhnya oleh kerajaan mengikut Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

  2. Menjelaskan mekanisme jaminan tersebut serta cara ia berfungsi sekiranya TH berdepan tekanan kewangan pada masa hadapan.

  3. Memastikan pendeposit tidak terjejas dari segi pulangan atau manfaat akibat kelemahan pengurusan lalu.

  4. Mengambil tindakan undang-undang dan susulan ke atas mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab berhubung penemuan salah urus pelaburan.

  5. Melaksanakan reformasi tadbir urus secara menyeluruh merangkumi pengukuhan kawal selia, pengurusan risiko dan ketelusan bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali.

Mengulas lanjut, Azmi menekankan bahawa pendeposit TH terdiri daripada rakyat biasa seperti guru, penjawat awam, peniaga kecil dan pesara yang mengumpul wang bertahun-tahun demi menunaikan ibadah haji.

Meskipun mengambil maklum kedudukan kewangan TH yang semakin kukuh — dengan aset bernilai RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion serta simpanan pendeposit meningkat kepada RM93.4 bilion — beliau menegaskan pemulihan kewangan tidak boleh dijadikan alasan untuk menyapu kesilapan lalu di bawah permaidani.

"PGIRM tidak berminat mempolitikkan isu ini, sebaliknya mahu memastikan amanah hampir 10 juta pendeposit benar-benar dilindungi menerusi prinsip ketelusan, profesionalisme dan akauntabiliti yang ketat," tegas beliau.

+ - reset