Berita Berita
56 rakyat Malaysia dipenjara di Selatan Thailand, ada berdepan hukuman mati
SONGKHLA 7 Nov - Sekurang-kurangnya 56 rakyat Malaysia sedang menjalani hukuman di enam penjara di Selatan Thailand atas pelbagai kesalahan, termasuk penyeludupan dadah dan menjadi keldai akaun sindiket penipuan dalam talian.
Lebih membimbangkan, seorang daripada mereka dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, manakala seorang lagi berdepan hukuman mati selepas terbabit dalam kes pembunuhan.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, jumlah berkenaan berdasarkan rekod yang diterima daripada pihak penjara di 15 wilayah Selatan Thailand setakat 3 September lalu.
Menurutnya, kesalahan berkaitan dadah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 44 individu, dengan majoritinya terlibat dalam kegiatan penyeludupan.
"Daripada jumlah yang dipenjara itu, 44 didapati bersalah kerana kes berkaitan dadah dengan majoritinya terlibat dengan penyeludupan, keldai akaun (4), kesalahan berkaitan imigresen (2), mencuri (2), senjata api (1), dan tiga kesalahan lain.
"Setakat maklumat yang diperoleh rakyat Malaysia yang ditahan di penjara berkenaan dijatuhi hukuman penjara antara setahun hingga 37 tahun. Seorang daripadanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, manakala seorang lagi berdepan hukuman mati kerana terlibat dalam kes pembunuhan," katanya.
Ahmad Fahmi berkata, Penjara Pusat Wilayah Narathiwat merekodkan jumlah banduan rakyat Malaysia tertinggi iaitu 30 orang, diikuti Penjara Na Thawi di Songkhla dengan 12 orang dan Penjara Pusat Songkhla seramai sembilan orang.
Sementara itu, masing-masing dua rakyat Malaysia ditempatkan di Penjara Pusat Wilayah Surat Thani dan Penjara Pusat Wilayah Yala, manakala seorang lagi di Penjara Pusat Wilayah Satun.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan jumlah sebenar rakyat Malaysia yang dipenjarakan di Selatan Thailand lebih tinggi memandangkan terdapat penjara yang belum menyerahkan laporan kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
Mengulas mengenai kebajikan banduan, Ahmad Fahmi berkata, pihak konsulat menjalankan lawatan konsular secara berkala bagi memantau keadaan rakyat Malaysia yang dipenjarakan, selain membantu mengesan dan menghubungkan mereka dengan ahli keluarga di tanah air.
Katanya, dua pertemuan turut diadakan pada Mac dan Jun lalu di Penjara Pusat Narathiwat serta Songkhla bagi memberikan penerangan berhubung proses perundangan dan urusan imigresen, khususnya kepada banduan yang bakal dibebaskan.
"Kami mengadakan kira-kira lima lawatan konsular setahun di penjara bagi bertemu banduan rakyat Malaysia. Bagi banduan yang akan dibebaskan, konsulat akan mengeluarkan Sijil Perakuan Cemas kepada banduan individu itu supaya mereka dapat kembali ke Malaysia," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Fahmi mengingatkan rakyat Malaysia yang berkunjung atau berada di Thailand supaya sentiasa mematuhi undang-undang negara berkenaan dan tidak memandang ringan sebarang kesalahan.
Beliau menegaskan, pejabat diplomatik Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri proses perundangan negara asing, termasuk mengubah hukuman yang sudah diputuskan oleh mahkamah tempatan.
"Pejabat diplomatik tidak mempunyai kuasa dan perlu menghormati pelaksanaan proses undang-undang negara tempatan sekiranya hukuman telah ditetapkan," katanya.
Berita berkaitan
November 7, 2026, 5:30 pm
Anwar arah Peguam Negara menghadap Agong, mohon ampun isu tahanan rumah Najib
November 7, 2026, 4:24 pm
'Macam dah nak pecah Kerajaan Perpaduan, kalau saya jadi PM, saya dah buang pemimpin BN' - Muhyiddin
November 7, 2026, 1:42 pm
Pertikai pengampunan bersyarat Najib menjurus ingkar perintah Agong – Istana Negara
November 7, 2026, 7:55 am
'Untung RM1 bilion, naik gaji pekerja RM20 pun bantah' - Anwar tegur syarikat perladangan 'berkira'
November 6, 2026, 11:53 pm
'Sampai bila?' – Nooryana Najwa luah rasa sedih, kecewa penangguhan tahanan rumah Najib
November 6, 2026, 11:48 pm
‘Bebaskan Najib serta-merta!’ – Peguam bidas tindakan AGC sangsi perintah tahanan di rumah
November 6, 2026, 9:34 pm
Najib kembali ke Penjara Kajang malam ini
November 6, 2026, 6:46 pm
