Berita Berita
'Macam dah nak pecah Kerajaan Perpaduan, kalau saya jadi PM, saya dah buang pemimpin BN' - Muhyiddin
MELAKA 7 Nov - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pertelingkahan terbuka antara pemimpin Kerajaan Perpaduan sebagai petanda pentadbiran itu bukan sahaja mengalami keretakan, malah seolah-olah semakin hampir kepada perpecahan.
Beliau berkata, sekiranya berada di kedudukan Perdana Menteri, pemimpin yang tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan kerajaan sudah tentu akan disingkirkan daripada Kabinet.
“Jadi kalau saya pun biasa berfikir, kalau begitu, elok mereka keluar.
“Kalau saya jadi Perdana Menteri, saya dah buanglah.
“Saya rombak Kabinet, saya tentukan supaya mereka yang tak sehaluan dengan saya ini tak boleh duduk di situ, malahan tak boleh bersama dalam kerajaan pun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program kempen di Bachang, Melaka, hari ini.
Menurut Muhyiddin, tindakan pemimpin parti dalam kerajaan saling mengkritik secara terbuka bukan sahaja mencerminkan hubungan yang semakin renggang, malah berpotensi menjejaskan kestabilan pentadbiran serta pelaksanaan dasar dan program untuk rakyat.
Katanya, sebarang rasa tidak puas hati sepatutnya diselesaikan melalui rundingan dalaman parti atau perbincangan di peringkat Kabinet dan bukannya diluahkan kepada umum.
“Biasanya prinsipnya kalau jadi anggota dalam sebuah kerajaan, jangan kecam kerajaan sendiri ataupun parti yang ada dalam kerajaan.
“Apa-apa, kalau ada pun, bawa berunding. Dalam peringkat parti boleh ataupun dalam Kabinet kalau ada isu tertentu yang tak puas hati.
“Bukan diluahkan di luar yang menunjukkan bahawa sudah ada bukan sahaja keretakan, macam sudah nak pecah Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Muhyiddin mengakui perkembangan itu mungkin memberi kelebihan kepada pembangkang, namun menegaskan keadaan berkenaan tetap membimbangkan kerana kestabilan politik penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat dilaksanakan.
“Saya di pihak pembangkang, saya sukalah. Tapi maksud saya tadi ialah apa yang sedang berlaku ini satu perkara yang cukup membimbangkan.
“Dalam keadaan tak ada perbalahan, perpecahan pun tak dapat dilaksanakan. Janji banyak tinggal janji. Apalagi bila dah ada isu macam ini, dah ada perbalahan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap kementerian mempunyai tanggungjawab melaksanakan dasar dan program kerajaan tanpa mengira perbezaan pendirian politik dalam kalangan menteri.
Sehubungan itu, Muhyiddin berpandangan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan wajar mempertimbangkan untuk meninggalkan pentadbiran berkenaan.
Berita berkaitan
November 7, 2026, 5:30 pm
Anwar arah Peguam Negara menghadap Agong, mohon ampun isu tahanan rumah Najib
November 7, 2026, 1:42 pm
Pertikai pengampunan bersyarat Najib menjurus ingkar perintah Agong – Istana Negara
November 7, 2026, 11:13 am
56 rakyat Malaysia dipenjara di Selatan Thailand, ada berdepan hukuman mati
November 7, 2026, 7:55 am
'Untung RM1 bilion, naik gaji pekerja RM20 pun bantah' - Anwar tegur syarikat perladangan 'berkira'
November 6, 2026, 11:53 pm
'Sampai bila?' – Nooryana Najwa luah rasa sedih, kecewa penangguhan tahanan rumah Najib
November 6, 2026, 11:48 pm
‘Bebaskan Najib serta-merta!’ – Peguam bidas tindakan AGC sangsi perintah tahanan di rumah
November 6, 2026, 9:34 pm
Najib kembali ke Penjara Kajang malam ini
November 6, 2026, 6:46 pm
