TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pertikai pengampunan bersyarat Najib menjurus ingkar perintah Agong – Istana Negara

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 7 Nov - Sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan menjurus kepada tindakan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurut titah yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, perintah pengampunan bersyarat berkenaan adalah jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang kekaburan dari segi tafsiran, selain semua syarat yang ditetapkan sudah dipenuhi.

Sehubungan itu, pelaksanaan keputusan yang mendapat perkenan Seri Paduka Baginda tidak sepatutnya terus menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.

Istana Negara turut menegaskan bahawa perintah pengampunan berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kes lain yang sedang dihadapi Najib.

Menurut kenyataan itu, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen pengampunan Najib pada 18 September lalu mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

"Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara kemudian memberikan nasihat sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Selanjutnya baginda memerintahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat membayar denda RM50 juta," menurut kenyataan itu.

Istana Negara menjelaskan, kuasa pengampunan merupakan hak prerogatif diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, pelaksanaan kuasa berkenaan perlu dihormati selaras dengan kedudukan institusi Raja Berperlembagaan serta prinsip kedaulatan undang-undang.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa tidak sepatutnya wujud kekeliruan tafsiran sehingga menyebabkan keputusan yang sudah diperkenankan terus tertangguh atau menimbulkan ketidakpastian.

Terdahulu, UMNO semalam mengesahkan semua proses pembayaran denda RM50 juta telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada sebelah pagi bagi memenuhi syarat membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian dilaporkan menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Sultan Ibrahim.

Menurut AGC, penangguhan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan berhubung kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International.

AGC menjelaskan terdapat dua tafsiran yang memerlukan penelitian lanjut.

Tafsiran pertama ialah pembayaran denda RM50 juta hanya menyelesaikan komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara Najib masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.

Berdasarkan tafsiran itu, tahanan di rumah merupakan kaedah alternatif bagi menjalani baki hukuman penjara dan bukannya bermaksud hukuman berkenaan telah tamat.

Tafsiran kedua pula melihat pembayaran denda RM50 juta sebagai syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, sekali gus membawa kesan bahawa keseluruhan hukuman dalam kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap selesai.

Perkembangan terbaharu menerusi titah Istana Negara itu menyusul ketika pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib masih menjadi perhatian susulan perbezaan tafsiran perundangan berhubung perintah pengampunan bersyarat berkenaan.

+ - reset