Berita Dunia
Belayar dari Port Klang, kapal kontena Nawata Bhum rempuh tebing sungai di India
DIAMOND HARBOUR 13 OGOS – Sebuah kapal kontena berdaftar di Singapura, Nawata Bhum, yang berlepas dari Port Klang, Malaysia, dilaporkan merempuh tebing Sungai Hooghly di Bengal Barat, India, pada Rabu.
Kapal berkenaan sedang dalam pelayaran menuju ke Pelabuhan Syama Prasad Mookerjee di Kolkata semasa insiden itu berlaku.
Rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan kapal sarat muatan kontena itu meluncur terus ke arah tebing sungai tanpa memperlahankan kelajuan atau mengubah haluan.
Bunyi hon kapal kedengaran dibunyikan berulang kali sebagai amaran sebelum bahagian haluan kapal akhirnya merempuh dan terdampar di benteng sungai berkenaan.
Berdasarkan analisis rakaman video, tiada sebarang kapal lain yang berada di laluan berhampiran semasa kejadian.
Jalan raya yang terletak di sepanjang tebing sungai juga kelihatan lengang dan tiada kerosakan struktur utama yang dikesan selain kemusnahan pada kawasan tumbuhan di tebing terbabit.
Semakan menerusi platform pemantauan kapal MarineTraffic menunjukkan Nawata Bhum membuat pusingan ke kanan di utara Latpatia pada jam 10.26 pagi waktu tempatan.
Kapal itu kemudiannya terus belayar selama kira-kira 40 minit sebelum merempuh tebing berhampiran Diamond Harbour.
Kapal berkenaan terdampar di lokasi kejadian sehingga jam 10.30 malam sebelum berjaya ditarik keluar oleh kapal tunda.
Menerusi sistem pengenalan automatik (AIS) kapal pada pagi Khamis, status navigasinya kini diisytiharkan sebagai "berlabuh" di kawasan Diamond Harbour dengan diiringi dua buah kapal tunda.
Laporan media tempatan menyatakan insiden tersebut berpunca daripada kegagalan fungsi mekanikal, yang mana sistem kemudi kapal berkenaan dipercayai tersumbat dan terganggu sehingga menyebabkan kapal kehilangan kawalan 'steerage'.
Susulan kejadian ini, pihak AsiaOne telah menghubungi Pihak Berkuasa Pelabuhan Syama Prasad Mookerjee dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tahap kerosakan kapal serta keselamatan anak kapal.
Pertanyaan turut dikemukakan kepada Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura dan syarikat perkapalan Regional Container Lines (RCL) Group bagi mengesahkan sekiranya siasatan keselamatan maritim secara bebas akan dijalankan.
Berita berkaitan
October 22, 2026, 1:59 pm
'Mereka selalu anggap masykarat kita kelas kedua', Boy Hamzah dedah kenapa buat video herdik Malaysia
October 21, 2026, 11:25 am
'Dah macam bengkel motor', kilang keropok di Indonesia mula jadi bualan netizen
October 19, 2026, 9:54 pm
Paderi maut ditimpa kayu salib ketika 'live' di gereja
October 17, 2026, 6:07 pm
Jerebu cetus tahap amaran tertinggi di Asia Tenggara
October 17, 2026, 1:39 pm
Indonesia rekod 354 titik panas, kualiti udara kekal membimbangkan
October 17, 2026, 10:43 am
Asap kebakaran hutan Kalimantan dah sampai Jakarta
October 16, 2026, 6:31 pm
Wanita jatuh tebing lepas baring atas batu sungai
October 15, 2026, 12:37 pm
Hutan hijau terus dibakar lagi bagai tiada penyesalan di Indonesia
October 15, 2026, 12:19 pm
Pelajar, guru pakai tudung dilarang masuk sekolah di Azerbajian
October 15, 2026, 10:23 am
