TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes tikam pelajar: Mahkamah perintah pelajar 15 tahun bela diri

By
|
Kongsi
image

Kes tikam pelajar: Mahkamah arah remaja 15 tahun bela diri

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh rakan sekolahnya berusia 16 tahun di Bandar Utama, Petaling Jaya, tahun lalu untuk membela diri.

Hakim Adlin Abd Majid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

Prosiding kes pendakwaan yang berlangsung selama enam hari bermula Isnin lalu menyaksikan seramai 11 saksi dipanggil untuk memberikan keterangan.

Sebelum ini, tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri selama tiga bulan oleh Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta yang juga pakar psikiatri, Dr Ian Lloyd Anthony.

Hasil pemeriksaan mendapati remaja terbabit layak untuk dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh rakan sekelasnya berusia 16 tahun di tandas perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4), Bandar Utama, Petaling Jaya, antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober tahun lalu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu ketika dihadapkan ke mahkamah pada Februari lalu.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap pesalah yang masih kanak-kanak ketika melakukan kesalahan.

Sebaliknya, Seksyen 97(2) akta sama memperuntukkan kanak-kanak yang disabitkan kesalahan hendaklah ditahan di penjara atas perkenan Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi kesalahan dilakukan di negeri, atau Yang di-Pertuan Agong bagi kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan.

Prosiding kes berkenaan dijalankan secara tertutup mengikut peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, peguam bela tertuduh, Kitsoon Foong sebelum ini memaklumkan pihak pembelaan menjangkakan anak guamnya akan dipanggil untuk membela diri.

Tertuduh diwakili Kitsoon Foong, Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.

+ - reset