TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Taktik sorok dalam kotak permainan tak menjadi, Kastam rampas ganja RM4.83 juta di KLIA

By
|
Kongsi
image

 

SEPANG 13 Ogos - Taktik menyembunyikan bunga ganja dalam kotak permainan kanak-kanak untuk dieksport ke Eropah berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lalu.

Dalam serbuan pada 13 Julai itu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA menemui empat bungkusan kotak permainan kanak-kanak di Cawangan Pusat Mel dan Kurier KLIA.

Pengarah Kastam KLIA, Aspalila Ag Tuah berkata, pemeriksaan menemukan plastik lut sinar kedap udara berisi 12.657 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM1.01 juta.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bungkusan berkenaan dipercayai cuba dieksport ke sebuah negara Eropah menggunakan perkhidmatan kargo.

Dalam kes berasingan, JKDM KLIA turut merampas 47.8kg bunga ganja bernilai RM3.82 juta yang ditemukan dalam dua bagasi ditinggalkan di Pejabat Lost & Found Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal 1 KLIA.

Aspalila berkata, kedua-dua bagasi berkenaan ditinggalkan selama kira-kira sebulan sebelum pemeriksaan dilakukan pada 14 Julai lalu.

“Imbasan bagasi mengesan imej mencurigakan sebelum pemeriksaan rapi menemukan plastik kedap udara yang mengandungi bunga ganja,” katanya.

Keseluruhannya, dua rampasan itu membabitkan 60.457kg bunga ganja bernilai kira-kira RM4.83 juta.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

+ - reset