TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

“Selepas Ahad kita bercakap…” – Anthony Loke terus berteka-teki soal kedudukan dalam Kerajaan

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 13 Ogos - Kedudukan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan dan hala tuju DAP dalam Kerajaan Persekutuan masih menjadi persoalan apabila Setiausaha Agung parti itu memilih untuk tidak memberikan sebarang petunjuk menjelang Persidangan Kebangsaan DAP 2026, Ahad ini.

Sebaliknya, Loke meminta media menunggu sehingga persidangan berkenaan selesai sebelum membincangkan perkara tersebut.

“Bagaimana anda boleh fikir ini sidang media terakhir saya? Saya tidak pernah berkata demikian. Selepas Ahad (Persidangan Kebangsaan), kita bercakap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.

Loke menjawab pertanyaan media sama ada sidang media berkenaan merupakan yang terakhir baginya sebagai Menteri Pengangkutan menjelang Persidangan Kebangsaan DAP 2026.

Persidangan berkenaan dijangka menjadi medan penting untuk menentukan hala tuju parti, termasuk sama ada DAP akan terus kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa.

Usul berkaitan perkara itu dijadual dibentangkan oleh Loke.

Keputusan terhadap usul tersebut akan ditentukan menerusi undian 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak menghadiri persidangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dalam pada itu, Loke turut menafikan beliau berada dalam keadaan gementar menjelang persidangan berkenaan, sebaliknya menegaskan beliau kekal tenang.

“Adakah saya nampak gementar? Saya tidak tahu mengapa anda bertanya soalan sedemikian. Saya sangat tenang hari ini,” katanya.

+ - reset