Berita Berita
Tiada bukti Zaharif digilis kenderaan Deputi Superintenden Mohd Nazri - Peguam
IPOH 13 Ogos – Teori bahawa pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, digilis kenderaan dipandu seorang pegawai kanan polis didakwa bercanggah dengan bukti forensik dan perubatan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
Peguam M Athimulan berkata, bukti objektif menunjukkan kecederaan dialami mangsa tidak konsisten dengan keadaan seseorang yang digilis kenderaan seperti didakwa beberapa saksi.
Beliau berkata, pakar patologi forensik mengesahkan tiada tulang remuk, organ hancur atau kesan tayar pada badan mahupun pakaian si mati.
"Yang Arif, kami dengan hormatnya berhujah bahawa bukti perubatan ini adalah fakta saintifik dan objektif serta tidak terdedah kepada kelemahan persepsi manusia. Ia secara langsung menyangkal dakwaan saksi.
"Pihak kami berhujah bahawa sekiranya keterangan saksi bercanggah dengan bukti yang dikemukakan oleh pakar perubatan maka keterangan mereka tidak boleh dipercayai," katanya ketika berhujah di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet di sini.
Di kandang tertuduh ialah Deputi Superintenden Mohd Nazri Abdul Razak, 46, yang berdepan pertuduhan membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini antara 11.55 tengah hari hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Athimulan berkata, ketiadaan kesan tayar pada baju dan tubuh si mati menyokong hujah pihak pembelaan bahawa insiden itu satu tragedi, iaitu mangsa "tercampak" dari motosikal selepas berlaku perlanggaran dan bukannya sengaja "digilis".
Katanya, kecederaan dialami mangsa juga konsisten dengan kesan terjatuh di atas jalan raya.
Beliau berkata, bukti perubatan menolak sepenuhnya kemungkinan bahawa keterangan lisan secara langsung saksi yang melihat kejadian itu adalah benar dan oleh itu, pihak pembelaan memohon agar keterangan tersebut ditolak.
"Keterangan saksi itu telah terjejas akibat persepsi terhadap kejadian traumatik dan dipengaruhi impak media sosial," katanya.
Peguam itu turut menyentuh mengenai implikasi kritikal yang timbul susulan kegagalan mengemukakan data "kotak hitam" kenderaan Perodua Ativa kerana ia penting untuk membina semula gambaran kejadian dan menentukan mens rea (niat jahat) di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan.
"Tanpa data kotak hitam itu, pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan sama ada tertuduh cuba membrek, melencongkan kenderaan atau cuba mengelakkan perlanggaran serta sama ada kelajuan kenderaan konsisten dengan keadaan hilang kawalan dan bukannya tindakan yang disengajakan.
"Yang Arif, kami berhujah bahawa perkara-perkara ini bukanlah lompang kecil dalam kes pendakwaan, sebaliknya ia adalah asas yang menjadi teras kepada teori pihak pendakwaan mengenai niat jahat kerana pertuduhan terhadap tertuduh ialah kesalahan paling serius di bawah Kanun Keseksaan, iaitu melakukan pembunuhan melalui tindakan sengaja menggunakan kenderaan," katanya.
Athimulan, yang dibantu oleh peguam Datuk Mior Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman, akan menyambung hujah pembelaan esok.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dengan dibantu oleh Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Monisha Pandey.
Bernama
Berita berkaitan
August 13, 2026, 5:58 pm
Guru ditahan disyaki pukul pelajar, tampar ibu mangsa di Kota Bharu
August 13, 2026, 5:22 pm
Kes anjing Rocky: Muhammad Shah nafi terbabit, jadi mangsa buli hingga terima ugutan bunuh
August 13, 2026, 3:39 pm
Taktik sorok dalam kotak permainan tak menjadi, Kastam rampas ganja RM4.83 juta di KLIA
August 13, 2026, 2:58 pm
Qualitas sedia bantu rombak sistem kesihatan Republik Naoero, tawar kepakaran sedia ada
August 13, 2026, 2:07 pm
Pelaburan KWAP dalam e-Fishery: SPRM belum temui unsur rasuah, penyelewengan
August 13, 2026, 2:03 pm
“Selepas Ahad kita bercakap…” – Anthony Loke terus berteka-teki soal kedudukan dalam Kerajaan
August 13, 2026, 2:00 pm
Penumpang pitam terjatuh ke landasan LRT Gombak, operasi tren kembali pulih
August 13, 2026, 1:55 pm
PH yakin DAP kekal bersama Kerajaan MADANI
August 13, 2026, 1:55 pm
