TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelaburan KWAP dalam e-Fishery: SPRM belum temui unsur rasuah, penyelewengan

By
|
Kongsi
image

KUCHING, 13 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan belum menemui sebarang unsur rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa berhubung siasatan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) ke atas syarikat akuakultur Indonesia, e-Fishery setakat ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abdul Halim Aman berkata, siasatan terperinci bernilai AS$35 juta (RM163.4 juta) itu bagaimanapun masih berjalan bagi mengenal pasti sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694).

"Fokus utama penyiasatan merangkumi Seksyen 16 dan 17 bagi unsur rasuah, pengemukaan dokumen palsu di bawah Seksyen 18, serta penyalahgunaan kuasa mengikut Seksyen 23 Akta berkenaan.

"Setakat ini, pihak kami telah merakam keterangan 19 saksi merangkumi pegawai KWAP, pegawai kanan Kementerian Kewangan (MOF) dan Khazanah Nasional Berhad. Tiada tangkapan dibuat setakat ini berikutan belum ada keperluan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM Sarawak, pada Khamis.

Abdul Halim menambah, SPRM turut meneliti elemen di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) serta kerjasama Bantuan Perundangan Bersama (MLA) membabitkan entiti luar negara.

Mekanisme MLA berkenaan merangkumi empat bidang kuasa luar negara iaitu Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat dan Abu Dhabi bagi membolehkan rakaman keterangan dan pengumpulan dokumen dilengkapkan.

Menurut beliau, siasatan domestik kini boleh dianggap hampir selesai, manakala fokus turut diberikan dari aspek tatakelola bagi mengemukakan syor penambahbaikan terhadap prosedur atau garis panduan pelaburan berkaitan jika perlu.

+ - reset