TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PH yakin DAP kekal bersama Kerajaan MADANI

By
|
Kongsi
image

SUBANG, 13 Ogos – Pakatan Harapan (PH) menzahirkan keyakinan bahawa DAP akan membuat keputusan untuk kekal berada dalam Kerajaan MADANI menerusi Persidangan Kebangsaan parti berkenaan yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.

Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau percaya kepimpinan dan perwakilan DAP akan sentiasa meletakkan kepentingan negara serta kestabilan politik sebagai keutamaan mengatasi perkara lain.

"Saya percaya kepemimpinan DAP mempunyai kebijaksanaannya sebagai parti yang sudah lama di negara ini.

"DAP tentunya akan meletakkan kepentingan negara dari segi kestabilan politik, selain mempertahan dan meneruskan kesinambungan yang sudah berjalan sangat baik ketika ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Subang, di sini pada Khamis.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan berhubung kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang memaklumkan bahawa hampir 4,000 perwakilan parti akan menentukan kedudukan dan hala tuju DAP dalam kerajaan menerusi usul khas pada persidangan tersebut.

Persidangan Kebangsaan DAP yang sepatutnya berlangsung pada 12 Julai lalu ditangguhkan sebelum ini bagi memberi tumpuan kepada persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution yang juga Pemangku Timbalan Presiden PKR menegaskan, DAP tidak mempunyai sebarang obligasi atau tanggungjawab untuk memberi penerangan mendalam kepada PH sebelum membuat sebarang keputusan yang selari dengan dasar serta pendekatan politik parti itu.

+ - reset