TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tambang LRT3 Laluan Shah Alam bermula esok selepas enam minggu percuma

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM, 14 Ogos – Penumpang Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam akan mula dikenakan tambang berbayar bermula esok selepas menikmati perkhidmatan percuma selama enam minggu.

Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan tambang berbayar pada tarikh berkenaan turut merangkumi perkhidmatan bas perantara serta kemudahan Park N' Ride di sepanjang laluan terbabit.

"Pelaksanaan perkhidmatan berbayar ini menandakan satu lagi fasa penting dalam operasi Laluan Shah Alam selepas tempoh perjalanan percuma selama enam minggu yang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

"Rapid KL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengguna atas sokongan, kepercayaan dan kesediaan memilih pengangkutan awam sepanjang tempoh berkenaan," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Sehubungan itu, Rapid KL menasihati orang ramai supaya membuat persediaan awal sebelum memulakan perjalanan dengan menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai serta memastikan baki kad sekurang-kurangnya RM5.

Kenyataan itu turut menambah bahawa kadar tambang konsesi menerusi Kad Konsesi MyRapid tetap disediakan bagi kategori yang layak merangkumi pelajar, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung struktur kadar tambang terbaharu Laluan Shah Alam boleh membuat semakan menerusi laman web rasmi MyRapid.

+ - reset