Berita Berita
Mahasiswa mahu kebebasan, Anwar umum AUKU akhirnya dimansuhkan selepas 55 tahun
AYER KEROH 15 Ogos – Kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), umum Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Perdana Menteri yang juga Presiden PKR itu berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira pandangan mahasiswa yang masih tidak berpuas hati meskipun beberapa pindaan terhadap akta berkenaan telah dilaksanakan sebelum ini.
"Anak-anak mahasiswa merasakan mereka harus bebas, kita sudah bebaskan dengan pindaan AUKU, masih ada yang tidak puas hati, mereka mengemukakan memo.
"Maka pada hari ini saya nak umumkan, kita akan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Turut hadir pimpinan PKR serta Kerajaan Perpaduan, antaranya Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Nor dan Presiden Parti AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu.
AUKU telah tujuh kali dipinda sejak diperkenalkan pada 1971, dengan pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.
Selain 2012, AUKU turut melalui pindaan pada 1975, 1983, 1996, 2009 dan 2024.
Pindaan terbaru pada 2024 menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk di bawah kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.
Selain itu, pindaan berkenaan turut menyaksikan penambahbaikan kepada Seksyen 15A AUKU yang membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar memungut wang serta menerima sumbangan dalam apa cara sekalipun, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beberapa reformasi dalam bidang pendidikan turut berjaya dilaksanakan oleh pentadbirannya.
"Apa yang kita lakukan, kemasukan anak-anak di peringkat awal, bahan TVET dan STEM secara lebih teratur, pengambilalihan prasekolah untuk semua anak-anak kita.
"Kita tidak mahu prasekolah itu hanya bagi kalangan elit di bandar dan kelas dua bagi anak-anak dipedalaman, dan desa. Maka, itu sudah menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan," katanya.
Berita berkaitan
August 15, 2026, 3:41 pm
Helikopter terbakar semua penerbangan di Subang ditangguh
August 15, 2026, 2:19 pm
Helikopter bawa 4 individu terbakar ketika berlepas di Lapangan Terbang Subang
August 15, 2026, 12:10 pm
Pengurusan MARA diarah semak SOP bawa pelajar ke klinik lepas 2 pelajar hilang
August 15, 2026, 11:31 am
'RM12 bilion hilang dalam TH, memang ada sakau!' – Anwar
August 15, 2026, 8:52 am
Tragedi subuh, 3 sekeluarga rentung dalam kebakaran di Muadzam Shah
August 15, 2026, 5:49 am
Dua pelajar MRSM Alor Gajah ditemui selamat di Pasar Seni - Asyraf Wajdi
August 14, 2026, 8:29 pm
