Berita Berita
Tragedi subuh, 3 sekeluarga rentung dalam kebakaran di Muadzam Shah
KUALA LUMPUR 15 OGOS - Tragedi hitam melanda sebuah keluarga apabila tiga daripadanya maut dalam satu kebakaran membabitkan dua buah rumah di Lorong Sekolah Kanan 2A, Desa Mawar 2, Muadzam Shah, awal pagi tadi.
Dalam insiden berkenaan, seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan melecur, manakala isterinya bersama seorang anak lelaki turut terkorban akibat terperangkap di dalam kediaman berkenaan.
Bagaimanapun, dua lagi anak mangsa, iaitu seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki, bernasib baik apabila berjaya menyelamatkan diri.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memaklumkan bahawa pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.11 pagi.
Susulan itu, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah dikejarkan ke lokasi dan tiba enam minit kemudian.
"Komander operasi lapor sampai di lokasi kejadian didapati benar berlaku kebakaran melibatkan satu rumah struktur kayu anggaran keluasan 20 x 30 kaki persegi dan satu rumah separuh kekal, anggaran keluasan 30 x 40 kaki persegi.
"Bangunan tersebut bersebelahan. Kemusnahan bagi rumah kayu 100 peratus, manakala rumah separuh kekal 70 peratus dan melibatkan mangsa,” katanya.
Beliau menambah, kesemua penghuni kediaman separuh kekal yang berada di sebelah rumah berkenaan merangkumi seorang lelaki, seorang perempuan, tiga kanak-kanak lelaki, serta seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan selamat.
Operasi memadam serta mengawal api turut mendapat bantuan enam anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari BBP Chini bagi menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan pencarian mangsa yang terperangkap.
Api akhirnya berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.05 pagi, manakala Unit Forensik Bomba telah dimaklumkan untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kebakaran.
Kesemua jenazah mangsa telah diserahkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan seterusnya.
Berita berkaitan
August 15, 2026, 3:41 pm
Helikopter terbakar semua penerbangan di Subang ditangguh
August 15, 2026, 2:19 pm
Helikopter bawa 4 individu terbakar ketika berlepas di Lapangan Terbang Subang
August 15, 2026, 12:10 pm
Pengurusan MARA diarah semak SOP bawa pelajar ke klinik lepas 2 pelajar hilang
August 15, 2026, 11:31 am
'RM12 bilion hilang dalam TH, memang ada sakau!' – Anwar
August 15, 2026, 10:32 am
Mahasiswa mahu kebebasan, Anwar umum AUKU akhirnya dimansuhkan selepas 55 tahun
August 15, 2026, 5:49 am
Dua pelajar MRSM Alor Gajah ditemui selamat di Pasar Seni - Asyraf Wajdi
August 14, 2026, 8:29 pm
