TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Kerajaan janganlah lebih zalim dari Harimau' - Veteran DAP, Chang Khim persoal tindakan tutup kilang kerana bendera terbalik

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kerajaan tidak seharusnya menggunakan tindakan penguatkuasaan yang keterlaluan sehingga menyebabkan operasi perniagaan dihentikan hanya disebabkan kesalahan berkaitan pemasangan bendera, kata Veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim.

Beliau berkata, sekiranya terdapat Undang-Undang Kecil (UUK) yang menetapkan hukuman terhadap kesalahan menggantung bendera, tindakan sewajarnya adalah mengenakan denda munasabah dan bukannya menghentikan operasi perniagaan.

“Kalau ada UUK untuk hukuman bagi silap gantung bendera sekalipun, hukumannya tidak boleh menganiaya sehingga menghentikan operasi perniagaan.

“Sekadar denda RM200, RM500 atau RM1,000 sudah memadai. Kerajaan jangan lebih zalim daripada harimau,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Teng turut mempersoalkan kewajaran tindakan menutup operasi sesebuah perniagaan hanya bagi mendapatkan komitmen kehadiran pihak terbabit.

Semalam, sebuah kilang perindustrian dilaporkan ditutup sementara selepas Jalur Gemilang dan bendera Johor didapati dipasang secara terbalik.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, sebelum ini berkata kejadian berkenaan dipandang serius kerana kedua-dua bendera itu melambangkan identiti, maruah dan kedaulatan negara serta negeri.

Beliau berkata, kesalahan berkenaan tidak boleh dianggap sebagai kesilapan kecil atau dibiarkan tanpa tindakan.

“Sekadar hendak mendapatkan komitmen kehadiran maka ditutup operasi perniagaan? Apa jenis penguatkuasaan undang-undang ini?

“Denda sajalah kalau salah atau tidak hadir. Kalau ingkar lagi, baru tindakan seterusnya. Bukan suka-suka tutup operasi perniagaan,” katanya.

Menurut Teng, tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara adil dan seimbang berdasarkan jenis kesalahan yang dilakukan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan sama akan dikenakan terhadap institusi lain sekiranya berlaku kesalahan membabitkan pemasangan bendera.

“Kalau bank yang silap, nak tutup bank? Kalau pejabat kerajaan silap, tutup pejabat kerajaan?” soalnya.

Sumber: Facebook Teng Chang Khim

+ - reset