TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Barang kemas RM1.74 juta dilarikan penyamun di Genting Highlands

By
|
Kongsi
image

KUANTAN, 18 Ogos – Tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan kapak serta kuku kambing melarikan 81 barangan kemas seberat 2.5 kilogram bernilai RM1.74 juta dalam satu kejadian samun di sebuah kedai emas di Sky Avenue, Genting Highlands, semalam.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan daripada pengawal keselamatan premis terbabit selepas kejadian berlaku pada jam 11.39 pagi.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek bertindak memecahkan cermin pameran sebelum melarikan lima bekas pameran mengandungi pelbagai barangan kemas bernilai RM1,747,500.

"Semasa kejadian, terdapat dua pekerja berada di dalam premis manakala tiada pelanggan atau pengawal keselamatan ditugaskan di kedai berkenaan. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kesemua suspek dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan mewah jenis BMW yang berdaftar atas nama seorang lelaki di Ampang.

Susulan kejadian itu, polis mengaktifkan 'Op Tutup' di laluan keluar Genting Highlands dan arah Batang Kali bagi mengesan pergerakan suspek.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Aqilah Azmi di talian 011-31759522 atau mana-mana balai polis berdekatan.

+ - reset