TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ketukan misteri tengah malam di Langgar: Siapa pelakunya?

By
|
Kongsi
image

ALOR SETAR, 18 Ogos – Polis meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan di sekitar kawasan Langgar di sini susulan dakwaan penduduk berhubung bunyi ketukan misteri pada pintu serta pagar rumah yang tular sejak Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, meskipun belum menerima laporan rasmi daripada mana-mana pihak.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan dan pada masa sama akan meningkatkan rondaan serta pemantauan di kawasan Langgar dan persekitaran berhampiran," katanya pada Selasa.

Sebelum ini, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 2.25 minit yang tular di media sosial memaparkan bunyi ketukan kuat pada pintu kediaman, namun tiada sebarang kelibat individu kelihatan di luar rumah.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di beberapa lokasi perumahan termasuk Taman Vistana, Taman Amira, Taman Awana, Taman Lelasari sehingga ke Pekan Langgar.

Sehubungan itu, Syed Basri menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam, selain sentiasa memastikan pintu serta pagar rumah dikunci dengan sempurna.

Beliau turut mengingatkan penduduk agar tidak membuka pintu sesuka hati dan segera menghubungi balai polis berdekatan sekiranya mendapati sebarang pergerakan atau aktiviti mencurigakan.

+ - reset