TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penantian 25 tahun berakhir, isu loji kumbahan Taman Berlian akhirnya digerakkan

By
|
Kongsi
image

 

DENGKIL 18 Ogos - Selepas kira-kira 25 tahun menanti, isu loji rawatan kumbahan di Taman Berlian, Dengkil yang membelenggu penduduk akhirnya mula digerakkan ke arah penyelesaian.

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, isu berkenaan melibatkan kira-kira 49 unit kediaman yang telah diduduki penduduk sejak 2001.

Menurut beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, masalah penyelenggaraan loji rawatan kumbahan itu masih belum menemui penyelesaian tuntas berikutan pemaju terdahulu gagal melengkapkan permohonan PDC 7 yang diperlukan sebelum loji berkenaan boleh diserahkan kepada Indah Water Konsortium (IWK) untuk tujuan penyelenggaraan.

“Selepas 25 tahun menanti, akhirnya ada sinar baharu buat penduduk Taman Berlian. Masalah yang lama tertangguh, kini langkah penyelesaian sedang digerakkan," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas meneruskan Program Terjah dan Tindak: Audit Infra Rakyat dengan turun padang ke Taman Berlian bagi melihat sendiri isu loji rawatan kumbahan berkenaan serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan.

Katanya, menerusi pendekatan itu, beliau bukan sekadar mendengar aduan penduduk, sebaliknya turun ke lapangan bagi meninjau sendiri keadaan loji serta mendapatkan penjelasan terus daripada pihak bertanggungjawab.

Ketua Operasi IWK Cyberjaya, Omar turut hadir memberikan taklimat mengenai status semasa loji berkenaan.

Menurut Aiman Athirah, perkembangan positif dicapai apabila pemaju asal turut hadir dan memberikan komitmen untuk menyelesaikan segala kerja yang masih tertangguh.

“Proses permohonan PDC 7 sehingga PDC 8 akan disegerakan bagi membolehkan penyerahan kepada IWK dilaksanakan.”

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bersama pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang akan terus mengikuti rapat perkembangan pelaksanaan kerja berkenaan sehingga isu itu benar-benar diselesaikan demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya IWK, Majlis Perbandaran Sepang (MPS), pihak pemaju serta agensi berkaitan atas kerjasama dan komitmen yang diberikan.

“Terjah untuk melihat. Tindak untuk menyelesaikan. Inilah komitmen kita dalam memastikan isu infrastruktur rakyat tidak terus tertangguh tanpa penyelesaian," katanya.

+ - reset