TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan MADANI mula proses libat urus Belanjawan 2027, Anwar mahu dengar pandangan rakyat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kerajaan MADANI hari ini memulakan proses libat urus bagi penyediaan Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober depan.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 yang dipengerusikan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi mukadimah kepada perjalanan menuju Belanjawan MADANI kelima.

Hampir 400 peserta daripada agensi kerajaan, sektor swasta dan industri, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta pertubuhan antarabangsa mengambil bahagian dalam sesi berkenaan bagi mengemukakan pandangan dan cadangan untuk memantapkan penyediaan Belanjawan 2027.

Menurut MOF, Anwar menegaskan Belanjawan 2027 perlu menyambut suara rakyat dan memenuhi harapan mereka, khususnya dalam usaha merancakkan pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan hidup.

“Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis tenaga dan tekanan kos sara hidup dek konflik di Asia Barat.

“Kerajaan MADANI akan utamakan harapan rakyat serta menangani isu keresahan rakyat demi melindungi kesejahteraan keluarga,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan itu hari ini.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang pandangan dalam proses libat urus berkenaan, sambil menegaskan kemajuan negara perlu diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai rakyat.

“Kita harus mendengar suara daripada segenap lapisan masyarakat supaya kemajuan negara tidak hanya terlihat pada angka, tetapi benar-benar dirasai rakyat di seluruh pelosok negara,” ujarnya.

MOF berkata, Belanjawan 2027 yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’akan kekal berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai kesejahteraan hidup rakyat serta memacu pembaharuan tatakelola pentadbiran negara.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kenyataan Pra-Belanjawan 2027 yang diterbitkan hari ini menggariskan 10 bidang tumpuan sebagai panduan kepada proses libat urus sebelum Belanjawan 2027 dimuktamadkan.

“Ini termasuk usaha menangani tekanan kos sara hidup; memperkukuh perlindungan sosial; memperkasa pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas; meningkatkan daya saing perniagaan dan produktiviti; serta memperkukuh keterjaminan makanan dan daya tahan ekonomi,” katanya.

Antara perkara yang turut dibincangkan termasuk memperluas perlindungan sosial dan penjagaan kesihatan primer, meningkatkan daya saing perniagaan melalui automasi dan kecerdasan buatan (AI), mempercepat peralihan hijau serta kesiapsiagaan pasaran karbon.

MOF berkata, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan isi rumah dan keterjaminan makanan.

Sesi hari ini merupakan permulaan kepada siri mesyuarat kumpulan fokus yang akan dilaksanakan bagi memperhalusi cadangan daripada pelbagai sektor dan lapisan masyarakat.

MOF turut memaklumkan siri Jelajah Belanjawan 2027 akan diadakan bagi menyantuni rakyat serta pemegang taruh di seluruh wilayah dan negeri.

Orang ramai juga dialu-alukan mengemukakan pandangan dan cadangan menerusi Portal Cadangan Belanjawan 2027 sebagai sebahagian usaha kerajaan menjadikan proses penyediaan belanjawan lebih telus, terangkum dan berteraskan penyertaan rakyat.

 

+ - reset