TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kemalangan maut tiga beranak: Polis tahan pemandu lori Imigresen dan pemandu kereta

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pihak polis menahan pemandu lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta pemandu sebuah kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, permohonan reman terhadap kedua-dua pemandu terbabit dijalankan pagi ini bagi membantu siasatan lanjut untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam insiden berkenaan.

Beliau mengesahkan bahawa empat sekeluarga yang menjadi mangsa rempuhan itu berada di laluan pejalan kaki yang selamat sebelum lori terbabit hilang kawalan lalu merempuh mereka.

"Pihak polis setakat ini menahan pemandu lori serta pemandu kenderaan yang melanggar lori terbabit untuk memastikan pihak mana yang bersalah.

"Keluarga mangsa disahkan berada di laluan pejalan kaki yang selamat sebelum lori berkenaan terbabas lalu melanggar mangsa. Kita juga sedang giat mengumpul dan meneliti pelbagai sudut rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, insiden membabitkan sebuah lori jenis Isuzu Black Maria milik JIM tanpa muatan, dua buah kereta serta empat pejalan kaki sekeluarga.

Nahas terbabit mengorbankan seorang lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya yang berusia 25 dan 12 tahun di lokasi kejadian, manakala isteri mangsa mengalami kecederaan parah.

Siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 43 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

+ - reset