Berita Berita
Gaji cecah RM12,000! Lebih 3,000 peluang kerja dalam sektor minyak dan gas dibuka di Sabah hujung minggu ini - PERKESO
KOTA KINABALU 20 Ogos – Lebih 3,000 peluang pekerjaan dengan tawaran gaji mencecah RM12,000 sebulan disediakan menerusi Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas @ Kota Kinabalu 2026 yang berlangsung pada 22 dan 23 Ogos ini.
Karnival yang diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) itu memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan dalam industri minyak dan gas dengan penyertaan 30 majikan terkemuka.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, program berkenaan menjadi platform strategik bagi anak tempatan Sabah, graduan baharu serta lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menembusi pasaran kerja berkemahiran tinggi dengan gaji lumayan.
Antara pemain utama industri minyak dan gas yang mengambil bahagian ialah Shell, Schlumberger WTA (M) Sdn. Bhd., Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited, ConocoPhillips Sabah Gas Ltd dan CPP Petroleum Engineering (M) Sdn. Bhd.
“Peluang kerjaya yang ditawarkan merangkumi pelbagai jawatan berkemahiran tinggi dan profesional, antaranya Ahli Geologi Kanan, Jurutera Takungan Kanan, Master, HSE Lead dan Ketua Jurutera, sekali gus membuka ruang kepada pencari kerja tempatan untuk meneroka kerjaya dalam sektor minyak dan gas yang bernilai tinggi,” menurut PERKESO dalam kenyataan hari ini.
Karnival itu merupakan kesinambungan daripada program sama yang berlangsung di Kuala Terengganu tahun lalu, yang menyaksikan 341 pencari kerja berjaya menerima tawaran pekerjaan menerusi padanan kerjaya.
Menurut PERKESO, penganjuran karnival berkenaan diteruskan memandangkan industri minyak dan gas kekal sebagai antara sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, selain menawarkan pulangan lumayan kepada tenaga kerja berkemahiran.
Selain sesi temu duga secara terus bersama majikan, pengunjung turut boleh mendapatkan khidmat kaunseling kerjaya, semakan dan penambahbaikan resume oleh pakar industri serta panduan menghadapi temu duga bagi meningkatkan kebolehpasaran.
PERKESO turut menyediakan kaunter perkhidmatan untuk membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat serta akses kepada skim perlindungan dan perkhidmatan pekerjaan yang ditawarkan.
Pengunjung juga berpeluang mencuba MYFutureJobs Career Exploration Centre (MYCEC) menerusi kiosk interaktif yang menyediakan penilaian personaliti serta membantu mengenal pasti bidang kerjaya bersesuaian berdasarkan kecenderungan dan potensi diri.
Inisiatif baharu seperti Metaverse MYFutureJobs, iaitu platform temu duga secara maya, turut diperkenalkan bagi memperluaskan akses kepada peluang pekerjaan secara digital.
Program berkenaan turut menampilkan sesi Pocket Talk bersama Pak Tam yang akan berkongsi pandangan serta pengalaman mengenai prospek kerjaya dalam industri minyak dan gas.
Pelbagai agensi dan rakan strategik turut mengambil bahagian dengan menyediakan maklumat berkaitan pembangunan kerjaya dan peningkatan kemahiran.
Antaranya Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) yang akan mempamerkan maklumat latihan kemahiran di bawah Kerajaan Negeri Sabah, manakala Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JAPENS) pula berkongsi perkhidmatan dan inisiatif untuk masyarakat.
Pencari kerja yang berminat membina kerjaya dalam industri minyak dan gas digalakkan hadir ke Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas @ Kota Kinabalu 2026.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang MYFutureJobs.
Berita berkaitan
August 20, 2026, 5:56 pm
JSPT beri amaran, lampu beacon, siren bukan tiket abaikan keselamatan orang awam
August 20, 2026, 3:00 pm
Kerjasama BN hadapi PRN Melaka diputuskan dalam mesyuarat MKT UMNO - Ahmad Maslan
August 20, 2026, 2:52 pm
PH serah jawatankuasa bincang kerjasama dengan BN hadapi PRN Melaka - Anwar
August 20, 2026, 2:45 pm
Tun Mahathir bidas kenyataan Netanyahu nafi penubuhan negara Palestin
August 20, 2026, 2:40 pm
MAIS tunggu hasil siasatan kes amang seksual sekolah agama swasta di Selangor
August 20, 2026, 1:50 pm
