Berita Berita
Kematian Keziah Nisha: 'Jangan kita anggap ejekan perkauman sebagai ‘budak-budak bergurau' - Kamil Munim gesa siasatan telus
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Semua kemungkinan berhubung kematian pelajar berusia 14 tahun, Keziah Nisha perlu diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang kesimpulan dibuat, kata Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim.
Beliau berkata, siasatan berhubung kematian pelajar yang bersekolah di Kuala Lumpur itu perlu dilakukan secara telus dan adil, termasuk meneliti dakwaan buli verbal yang dikaitkan dengan unsur perkauman.
“Saya menyeru supaya satu siasatan yang menyeluruh, telus, dan adil dilakukan. Teliti segala kemungkinan, dengarkan semua pihak, dan pastikan kebenaran dapat diketahui.
“Jangan kita anggap ejekan perkauman sebagai ‘budak-budak bergurau’. Jangan kita normalisasikan penghinaan sebagai perkara kecil,” katanya dalam catatan di Instagram.
Menurut Kamil, kejadian itu juga perlu menjadi ruang untuk masyarakat melakukan muhasabah sekiranya kebencian berasaskan kaum mula menjadi sebahagian daripada bahasa pergaulan dalam kalangan pelajar di sekolah.
Katanya, sekolah seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk kanak-kanak belajar dan membesar, bukannya ruang untuk mempelajari kebencian berdasarkan warna kulit atau keturunan.
Kamil turut menyeru ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan orang ramai supaya memandang serius isu buli, penghinaan serta rasisme dalam kalangan kanak-kanak.
“Anak-anak sedang belajar daripada dunia yang kita bina untuk mereka. Pastikan dunia itu mengajar mereka untuk menghormati manusia, bukan membencinya,” katanya.
Kematian Keziah, pelajar berusia 14 tahun yang bersekolah di Kuala Lumpur, mencetuskan kebimbangan awam berhubung dakwaan kemungkinan berlaku buli verbal termasuk unsur perkauman.
Bagaimanapun, perkara berkenaan masih menunggu siasatan lanjut bagi menentukan punca sebenar dan keadaan yang berlaku sebelum kematian mangsa.
Berita berkaitan
August 20, 2026, 5:56 pm
JSPT beri amaran, lampu beacon, siren bukan tiket abaikan keselamatan orang awam
August 20, 2026, 3:00 pm
Kerjasama BN hadapi PRN Melaka diputuskan dalam mesyuarat MKT UMNO - Ahmad Maslan
August 20, 2026, 2:52 pm
PH serah jawatankuasa bincang kerjasama dengan BN hadapi PRN Melaka - Anwar
August 20, 2026, 2:45 pm
Tun Mahathir bidas kenyataan Netanyahu nafi penubuhan negara Palestin
August 20, 2026, 2:40 pm
MAIS tunggu hasil siasatan kes amang seksual sekolah agama swasta di Selangor
August 20, 2026, 1:50 pm
