Berita Berita
'Hukuman bukan urusan PM' - Anwar tegaskan siasatan salah laku Tabung Haji bukan atas dasar dendam atau politik
KLANG 20 Ogos - Sebarang siasatan terhadap dakwaan salah laku membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu berlandaskan proses undang-undang dan tidak didorong oleh dendam atau kepentingan politik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa perlu menjalankan siasatan, manakala keputusan mengenai pertuduhan dan hukuman hendaklah diserahkan kepada institusi yang berkenaan.
"Siasat itu badan siasatan, buat pertuduhan itu Peguam Negara. Hukuman, para hakim dan itu bukan urusan Perdana Menteri,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan seorang mahasiswa pada Sesi Temu Anwar sempena Himpunan Anak Muda (HAMKA) Antarabangsa 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan tidak boleh mengambil tindakan hanya berdasarkan persepsi atau menjatuhkan hukuman terhadap seseorang tanpa melalui proses undang-undang yang sewajarnya.
"Saya tak mahu orang yang tak bersalah didakwa, tapi kalau dia dah bersalah, itu ikut proses," katanya.
Beliau berkata, siasatan berkaitan TH perlu dilaksanakan secara telus bagi memastikan sebarang kelemahan atau salah laku yang didedahkan dapat ditangani tanpa melindungi mana-mana pihak.
Anwar turut menegaskan bahawa tindakan terhadap isu berkaitan TH bukan didorong perasaan dendam, sebaliknya bagi memastikan amanah pendeposit serta kepentingan umat Islam terus terpelihara.
Katanya, TH bukan sekadar sebuah institusi kewangan, malah mempunyai kedudukan penting kepada umat Islam dan perlu diuruskan secara amanah serta berintegriti.
"Ini bukan soal parti, sebaliknya ia soal satu institusi yang perlu dipelihara,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan mahu memastikan TH kembali menjadi institusi yang kukuh, cekap dan menjadi kebanggaan umat Islam.
"Kerajaan juga mahu memastikan kelemahan pengurusan pada masa lalu tidak berulang," tambah beliau.
Berita berkaitan
August 20, 2026, 5:56 pm
JSPT beri amaran, lampu beacon, siren bukan tiket abaikan keselamatan orang awam
August 20, 2026, 3:00 pm
Kerjasama BN hadapi PRN Melaka diputuskan dalam mesyuarat MKT UMNO - Ahmad Maslan
August 20, 2026, 2:52 pm
PH serah jawatankuasa bincang kerjasama dengan BN hadapi PRN Melaka - Anwar
August 20, 2026, 2:45 pm
Tun Mahathir bidas kenyataan Netanyahu nafi penubuhan negara Palestin
August 20, 2026, 2:40 pm
MAIS tunggu hasil siasatan kes amang seksual sekolah agama swasta di Selangor
August 20, 2026, 1:50 pm
