Berita Berita
Wanita didenda RM500 gara-gara cekik rakan main telefon sehingga kerja jadi lambat di kilang
BALIK PULAU 20 Ogos – Gara-gara tidak berpuas hati rakannya didakwa bermain telefon bimbit ketika bekerja, seorang bekas pekerja kilang mengaku bersalah mencekik rakan sekerjanya pada bulan lalu.
Tertuduh, Siti Fadzhlina Bazheer Ahamed, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Susulan pengakuan tersebut, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM500 terhadap tertuduh yang kini tidak bekerja, dan jika gagal membayar denda berkenaan, dia boleh dipenjara selama 14 hari.
Mengikut pertuduhan, Siti Fadzhlina didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita, Anis Fari Syuhail Johari, 30, dengan cara mencekik bahagian leher mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam Kilang Abbott Medical Device Sdn Bhd, Hala Kampung Jawa, Bayan Lepas, pada jam 12.30 tengah hari, 26 Julai lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Yiew De Xian, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sofi Jaafar.
Dalam rayuannya, Yiew memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum dengan mengambil kira tertuduh sudah kehilangan pekerjaan susulan kejadian berkenaan.
Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak mencekik mangsa selepas mendapati mangsa tidak menjalankan kerja dengan betul dan hanya bermain telefon bimbit.
Perbuatan mangsa itu didakwa menyebabkan kerja di bahagian mereka bertugas di kilang berkenaan menjadi lambat.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Chia menasihatkan tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan kerana ia boleh menyebabkan perkara lebih buruk berlaku.
"Kenapa kamu cekik mangsa? Nasib baik dia tak mati, kalau dia mati, kamu akan dituduh membunuh.
"Kamu sepatutnya melaporkan kelakuan mangsa kepada ketua kamu, bukannya melakukan tindakan sedemikian (mencekik)," katanya.
Berita berkaitan
August 20, 2026, 5:56 pm
JSPT beri amaran, lampu beacon, siren bukan tiket abaikan keselamatan orang awam
August 20, 2026, 3:00 pm
Kerjasama BN hadapi PRN Melaka diputuskan dalam mesyuarat MKT UMNO - Ahmad Maslan
August 20, 2026, 2:52 pm
PH serah jawatankuasa bincang kerjasama dengan BN hadapi PRN Melaka - Anwar
August 20, 2026, 2:45 pm
Tun Mahathir bidas kenyataan Netanyahu nafi penubuhan negara Palestin
August 20, 2026, 2:40 pm
