Berita Berita
JSPT beri amaran, lampu beacon, siren bukan tiket abaikan keselamatan orang awam
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memberi peringatan tegas bahawa penggunaan lampu amaran (beacon light) dan siren oleh kenderaan agensi penguat kuasa mahupun kenderaan kecemasan bukanlah satu tiket atau ‘lesen’ untuk melanggar undang-undang jalan raya sesuka hati.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, menegaskan bahawa prinsip ‘tiada sesiapa mengatasi undang-undang’ (no one is above the law) terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian.
“Sesiapa saja tak boleh melebihi daripada undang-undang. Mana-mana kenderaan, waima kecemasan macam mana sekalipun, apabila sampai di lampu isyarat (merah), kita kena pastikan pengguna jalan raya yang lain itu dalam keadaan selamat dahulu, barulah boleh melintas.
“Pemandu tidak boleh hanya (simbolik) menggunakan lampu beacon dan siren untuk melanggar lampu isyarat tanpa melihat kiri dan kanan kerana keselamatan nyawa pengguna lain adalah lebih penting,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau membuat lawatan di lokasi kejadian nahas membabitkan tiga sekeluarga di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini.
Hasbullah turut mengingatkan bahawa kuasa mengawal lalu lintas dan menjalankan tugas pengiringan (escort) adalah hak eksklusif PDRM di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967.
Beliau memberi amaran kepada agensi lain, marshal awam atau persatuan supaya tidak sesuka hati memasang lampu beacon dan cuba menahan lalu lintas.
Katanya, tindakan tegas di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan diambil terhadap pemilik kenderaan yang memasang lampu amaran secara haram.
“Hak eksklusif diberikan kepada PDRM yang mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk menjalankan tugas eskort, membuka laluan atau menahan lalu lintas bagi mana-mana kenderaan pembesar, VIP ataupun konvoi di jalan awam.
“Tiada agensi lain, marshal awam atau mana-mana pihak awam, penunggang marshal, persatuan mahupun agensi penguat kuasa lain mempunyai kuasa untuk menyekat, menahan atau mengarahkan kenderaan awam demi memberi laluan kepada konvoi mereka sendiri,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dan memberi laluan kepada kenderaan kecemasan yang sah, namun mengingatkan pemandu agensi kerajaan agar sentiasa mematuhi undang-undang demi menjaga keselamatan awam secara keseluruhan.
Sebelum ini, media melaporkan tiga sekeluarga maut selepas dilanggar lori Jabatan Imigresen (JIM) yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu berlaku apabila lori Isuzu ‘Black Maria’ JIM tanpa muatan dipercayai dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang asing tanpa izin (PATI), sebelum memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, dengan lampu suar (beacon) dan siren diaktifkan.
Pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori berkenaan, menyebabkan lori hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kereta Inokom Matrix.
Berita berkaitan
August 20, 2026, 3:00 pm
Kerjasama BN hadapi PRN Melaka diputuskan dalam mesyuarat MKT UMNO - Ahmad Maslan
August 20, 2026, 2:52 pm
PH serah jawatankuasa bincang kerjasama dengan BN hadapi PRN Melaka - Anwar
August 20, 2026, 2:45 pm
Tun Mahathir bidas kenyataan Netanyahu nafi penubuhan negara Palestin
August 20, 2026, 2:40 pm
MAIS tunggu hasil siasatan kes amang seksual sekolah agama swasta di Selangor
August 20, 2026, 1:50 pm
