TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Masuk dulu, nanti potong gaji, PATI bayar hingga RM8,000 pada sindiket selepas dapat kerja di Malaysia

By
|
Kongsi
image

 

KOTA BHARU 21 Ogos – Bayaran sehingga RM8,000 dikenakan sindiket penyeludupan migran terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mahu memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Kelantan.

Menurut laporan Kosmo Online, bayaran berkenaan boleh dibuat secara ansuran atau melalui potongan gaji selepas mereka memperoleh pekerjaan di negara ini.

Modus operandi itu dikesan digunakan rangkaian penyeludupan migran bagi mengaut keuntungan lumayan, namun pada masa sama mendedahkan golongan PATI kepada risiko eksploitasi tenaga kerja kerana terikat dengan hutang perjalanan.

Lebih menarik, kadar bayaran yang dikenakan bagi setiap individu bergantung kepada negara asal dan lokasi destinasi PATI berkenaan.

Difahamkan, PATI warga Myanmar dikenakan bayaran tertinggi iaitu sekitar RM8,000.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kebanyakan PATI sanggup membayar wang kepada sindiket semata-mata untuk mendapatkan akses menyeludup masuk ke Malaysia.

“Kaedah itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada sindiket, malah menunjukkan golongan berkenaan terdedah kepada risiko eksploitasi tenaga kerja apabila mereka terikat dengan hutang atau bayaran perjalanan yang perlu dilangsaikan selepas bekerja.

“Bagaimanapun, mereka tiada pilihan dan terpaksa akur dengan kehendak sindiket atau terlepas peluang masuk ke sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, permintaan tinggi terhadap tenaga kerja dipercayai menjadi antara faktor yang menarik kemasukan PATI ke negara ini.

Katanya, keadaan itu menunjukkan kegiatan penyeludupan migran bukan sekadar membabitkan kemasukan warga asing secara haram, sebaliknya telah membentuk satu rangkaian yang menghubungkan ejen, penyeludup dan pihak yang menawarkan pekerjaan kepada PATI.

Katanya, sindiket dipercayai mengambil kesempatan terhadap permintaan tenaga kerja murah dengan menawarkan perkhidmatan membawa masuk warga asing menggunakan laluan tidak sah.

“Bagi sesetengah kes penyeludupan PATI, bayaran tidak perlu dijelaskan sepenuhnya sebelum perjalanan dilakukan.

“Sebaliknya, bayaran itu boleh dibuat atau diselesaikan melalui potongan gaji selepas PATI mendapat pekerjaan di negara ini,” dedahnya.

Beliau berkata, jumlah bayaran yang dikenakan sindiket adalah tidak sekata dan dianggarkan antara RM4,000 hingga RM8,000 bagi setiap warga asing, bergantung kepada kewarganegaraan, destinasi serta pakej perjalanan.

“Apabila bayaran dibuat secara potongan gaji, keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan mereka terikat dengan majikan atau pihak berkaitan untuk tempoh tertentu sehingga hutang perjalanan tersebut dilangsaikan.

“Keadaan ini boleh membuka ruang kepada eksploitasi kerana mereka mungkin takut kehilangan pekerjaan atau ditangkap jika melaporkan sebarang penganiayaan kerana masih mempunyai hutang dengan sindiket,” katanya.

Kosmo! pada 19 Ogos lalu melaporkan kawalan ketat di sepanjang Sungai Golok sejak hampir dua tahun lalu memaksa sindiket penyeludupan mengubah modus operandi dengan beralih menggunakan perairan terbuka untuk membawa masuk PATI ke negara ini.

Sindiket berkenaan dikesan memperluas rangkaian dengan menggunakan bot kecil melalui perairan Kuala Besar dan muara Sungai Kelantan sebagai laluan alternatif utama bagi mengelak dikesan pasukan keselamatan.

Beberapa kawasan pulau dan pesisir pantai turut dikenal pasti sebagai laluan penyeludupan iaitu Pulau Besar, Pulau Gorek, Pulau Tengkorak, kawasan bawah Jambatan Pulau Ular, Jeti Kok Keli dan Jeti Kok Majid.

Sebaik tiba, PATI akan ditempatkan terlebih dahulu di rumah transit seperti rumah sewa, inap desa, hotel bajet dan kawasan penempatan sementara sebelum diambil ejen atau ‘transporter’ untuk dihantar ke lokasi tertentu yang sudah dijanjikan peluang pekerjaan.

Ahmad Radzi ketika mendedahkan perkara itu berkata, ruang perairan laut yang luas dan terbuka memberikan kelebihan kepada sindiket untuk merancang pergerakan dan lebih bebas berbanding laluan sungai yang kini dikawal rapi.

“Faktor geografi, keadaan cuaca, keupayaan menggunakan bot kecil serta kewujudan rangkaian ejen tempatan menjadi punca utama sindiket memilih laluan laut kerana risiko ditangkap adalah lebih rendah,” katanya. 

+ - reset