Berita Berita
Padah hina Islam, lelaki Singapura dipenjara 14 hari, denda RM7,000
JOHOR BAHRU 21 Ogos – Seorang pengawal keselamatan warga Singapura dihukum penjara 14 hari dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menghina agama Islam bulan lalu.
Majistret A Shaarmini memerintahkan Mohamed Anim Atam, 56, menjalani hukuman penjara berkenaan bermula dari tarikh dia ditahan pada Selasa lalu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja berniat untuk melukakan perasaan agama mana-mana orang dengan menyebut perkataan berunsur penghinaan terhadap agama Islam yang didengari seorang lelaki.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dari Jalan Tun Razak hingga Jalan Meldrum di sini, kira-kira jam 5 petang pada 30 Julai lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menyebut kata-kata iaitu "kalau betul al-Quran itu, kalau kau belajar, its very dangerous book of killing, kerja dia asyik membunuh, membunuh, membunuh, tak ada kasih sayang, ini semua bohong punya, aku tak percaya."
Pengadu yang mendengar kata-kata tertuduh kemudian memuat naik video rakaman itu ke beberapa akaun media sosial miliknya sebelum membuat laporan polis pada 31 Julai lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kes itu tular di media sosial dan membabitkan isu 3R.
Bagaimanapun, dalam rayuannya, lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan menghidap penyakit darah tinggi selain sedang dalam proses perceraian yang memerlukannya hadir di Mahkamah Syariah di negaranya.
Baru-baru ini, sebuah video membabitkan warga republik itu yang menghina agama Islam ketika menaiki sebuah kereta e-hailing di sekitar bandar raya ini tular di laman sosial.
Susulan itu, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dengan bantuan Polis Singapura.
Turut dirampas daripada suspek ialah sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan.
Berita berkaitan
August 21, 2026, 12:31 pm
Masuk dulu, nanti potong gaji, PATI bayar hingga RM8,000 pada sindiket selepas dapat kerja di Malaysia
August 21, 2026, 12:19 pm
'Teringin nak pergi, tapi maaf hari Sabtu di Brunei' - Anwar balas jemputan murid taska
August 21, 2026, 11:00 am
SPRM mohon reman bekas CEO Tabung Haji
August 21, 2026, 10:51 am
UiTM henti ambil pelajar antarabangsa Ijazah Sarjana Muda, fokus Bumiputera B40
August 21, 2026, 10:48 am
Jadi lokasi buang bahan binaan dari Singapura, 14 pemilik tanah di Pontian diberi notis
August 21, 2026, 10:07 am
