TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ajak mandi bersama, guru tahfiz didakwa empat pertuduhan amang seksual terhadap dua murid 10 dan 11 tahun

By
|
Kongsi
image

 

AMPANG 24 Ogos - Seorang guru tahfiz didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki berusia 10 dan 11 tahun pada Julai dan Ogos lalu.

Menurut laporan Malaysiagazette, tertuduh, Muhammad Ilyas Jamaludin, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ho Kwong Chin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun tiga bulan dengan mengajak mangsa mandi bersama dalam keadaan bersifat seksual.

Perbuatan itu didakwa berlaku kira-kira jam 7.30 malam pada 15 Ogos lalu di sebuah Maahad Tahfiz di Jalan Enggang, Taman Keramat, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(f) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa yang sama dengan cara menggosok kemaluan kanak-kanak itu antara jam 10 hingga 11 malam pada Julai lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun tujuh bulan dengan cara memeluk badan mangsa sekitar jam 11.30 malam antara Julai hingga Ogos lalu.

Pertuduhan keempat pula mendakwa tertuduh menyuruh mangsa yang sama menggosok punggungnya pada kira-kira jam 11.50 malam, 16 Ogos lalu.

Kesemua pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16(1).

Jika sabit kesalahan, Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16(1) memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang daripada dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan yang didakwa serius serta kebimbangan tertuduh boleh mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam Mohd Zaharudeen Harun memohon mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan.

Beliau berkata anak guamnya masih bujang, telah diberhentikan daripada tugas sebagai tenaga pengajar di maahad berkenaan serta-merta dan perlu menanggung ibu bapanya yang uzur.

Menurutnya, tertuduh juga sedang menghadapi tiga pertuduhan di Mahkamah Seremban dan tidak pernah gagal hadir ke prosiding mahkamah.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memaklumkan jumlah jaminan yang dikenakan terhadap tertuduh bagi kes di Mahkamah Seremban adalah RM26,000 dan menganggap jumlah RM10,000 yang dipohon terlalu rendah.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan serta tidak boleh mengganggu saksi atau mangsa sepanjang prosiding berlangsung.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Oktober depan.

+ - reset