TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MARA tubuh pasukan khas gerakkan agenda bina Hospital MARA - Asyraf Wajdi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menggerakkan perancangan penubuhan Hospital MARA yang berfungsi sebagai hospital pengajar, pusat kecemerlangan kesihatan serta pemangkin ekonomi Bumiputera.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, institusi itu mempunyai ekosistem lengkap untuk merealisasikan inisiatif berkenaan berikutan sokongan institusi pendidikan seperti Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), selain rangkaian 160 cawangan U.n.i KLINIK, U.n.i Farmasi serta U.n.i Dental.

Menurut beliau, lima rasional utama penubuhan hospital berkenaan merangkumi keperluan fasiliti klinikal sendiri bagi melengkapkan pendidikan perubatan MARA, integrasi komponen kesihatan menyeluruh merentasi TVET dan keusahawanan, serta penyepaduan teknologi bioperubatan dari pelbagai kampus UniKL.

"Hospital MARA juga akan berfungsi sebagai 'makmal hidup' (living laboratory) yang membolehkan pelajar dan penyelidik menjalankan latihan serta inovasi peranti perubatan, kecerdasan buatan (AI) dan robotik, manakala usahawan MARA berperanan membekalkan perkhidmatan sokongan.

"Selain itu, rangkaian klinik dan farmasi sedia ada di bawah program ProSPEC bertindak sebagai perkhidmatan barisan hadapan yang melengkapi rantaian berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asyraf Wajdi menambah, langkah tersebut adalah kesinambungan mandat MARA agar agensi itu bukan sahaja melahirkan tenaga profesional dalam sektor kesihatan, malah memiliki fasiliti strategik sendiri untuk membolehkan mereka berkhidmat, menerajui penyelidikan dan memacu industri terbabit.

+ - reset