TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Tak setuju, balas dengan hujah’ – Zaid tegur DAP henti guna laporan polis untuk berdepan dengan PAS

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Bekas Menteri, Datuk Seri Zaid Ibrahim menggesa pemimpin DAP supaya tidak keterlaluan berpegang kepada ideologi sehingga memilih untuk membuat laporan polis setiap kali berlaku perbezaan pendapat dengan PAS.

Menurutnya, tindakan sedemikian hanya akan mengeruhkan keadaan selain meningkatkan permusuhan antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata, DAP juga perlu membezakan antara dasar rasmi kerajaan dengan retorik atau ceramah keagamaan yang disampaikan pemimpin PAS.

“Penulisan Presiden PAS Hadi Awang tidak membawa sebarang ancaman kepada masyarakat. enulisannya tidak memberikan kesan sedemikian melainkan sekadar membuatkan sesetengah daripada kamu berasa marah.

“Kenyataan dan ucapannya hanya boleh menjadi ancaman dalam satu situasi: apabila ia menggalakkan keganasan.

“Jika ia palsu, bodoh, menyakitkan hati, atau kamu merasakan ia merosakkan reputasi kamu, apa yang perlu kamu lakukan hanyalah membalas dan memberikan pandangan sendiri. Itulah hakikat politik,” kata kata Zaid dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Sebaliknya, bekas pemimpin PKR yang pernah bersama DAP dan kini menyertai PAS itu berkata, perbezaan pandangan politik sepatutnya dibalas dengan hujah dan pandangan balas.

"Apabila pemimpin PAS bercakap, sesekali dia memegang watak sebagai pendakwah yang bercakap kepada umat Islam mengenai tarbiyah dan nilai Islam.

“Tetapi itu adalah untuk khalayak Muslim," katanya.

Hubungan DAP-parti Melayu Islam penuh permusuhan

Mengulas hubungan antara DAP dengan parti-parti Melayu Islam yang kini berada pada tahap kurang baik, Zaid berkata tanggungjawab untuk memperbaiki keadaan perlu dipikul kedua-dua belah pihak.

“Punca politik kita menjadi hambar dan penuh permusuhan adalah kerana kita tidak berusaha untuk berinteraksi dan memahami antara satu sama lain.

“Sebaliknya, kita menggunakan seluruh sumber untuk menggambarkan pihak lawan dalam keadaan paling buruk,” katanya..

Tambahnya, masyarakat bukan Islam tidak perlu masuk campur atau bimbang terhadap ceramah keagamaan berkenaan kerana ia bukan dasar rasmi kerajaan PAS.

“Dasar hanya bermula apabila sesuatu perkara diformalkan menjadi undang-undang, dan pada ketika itulah DAP boleh terlibat dalam perdebatan politik,” katanya lagi.

DAP selesa dengan Umno

Zaid berkata, DAP dilihat cukup selesa dengan Umno, parti yang juga pernah disertainya, sedangkan Umno turut mempunyai tanggungjawab tarbiyah dan Majlis Ulamak seperti PAS.

“Beza antara mereka adalah Umno tidak mempunyai pemimpin agama yang memegang jawatan Presiden.

“Hadi memegang kedua-dua peranan itu, menyebabkan dia lebih cenderung menarik serangan dan mencetuskan kontroversi,” katanya.

Zaid turut menyorot pengalaman PAS sebagai kerajaan di Kelantan selama lebih 50 tahun sejak 1964 yang menurutnya tidak menunjukkan tanda ancaman kepada masyarakat demokratik, tidak menggalakkan keganasan, serta sentiasa mematuhi perintah mahkamah dan Rukun Negara.

Katanya, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga telah memegang jawatan itu selama 24 tahun.

Gesa pemimpin Islam DAP bertindak lembut

Sebagai bekas anggota DAP, Zaid turut menggesa pemimpin Islam dalam parti itu supaya mengambil pendekatan lebih lembut terhadap PAS.

Katanya, kerjasama dengan kumpulan Melayu Islam adalah penting kerana PAS merupakan masa depan bagi orang Melayu, terutama jika DAP berhasrat untuk kekal dalam kerajaan Persekutuan bagi tempoh yang lama.

“PAS menganggap dirinya sebagai organisasi agama yang mempunyai tanggungjawab terhadap ummah, lalu mereka berdakwah. Sebagai bukan Muslim, tidak mengapa untuk tidak bersetuju, tetapi simpanlah untuk diri sendiri. Bukan semua ajaran dari mulut penceramah itu adalah dasar.

“Tunjukkan sedikit rasa hormat. Jika majoriti umat Islam mendapati ajaran PAS boleh diterima, itu sudah memadai untuk semua orang,” katanya.

+ - reset