Berita Berita
JAKIM guna AI percepat proses sijil halal, semakan dokumen tak lagi satu persatu
KUALA LUMPUR 24 Ogos - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bakal memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan proses permohonan dan pensijilan halal, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada semakan dokumen secara manual.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, sistem yang dinaik taraf dengan teknologi AI itu dijangka mula digunakan pada awal tahun depan bagi meningkatkan kecekapan proses permohonan dan audit halal.
Menurutnya, teknologi berkenaan bukan sahaja memudahkan pihak industri mengemukakan permohonan, malah membantu JAKIM menjalankan proses audit dengan lebih pantas dan berkesan.
"Insya-Allah, menjelang awal atau tahun depan, kita akan mempunyai sistem yang dinaik taraf menggunakan AI bagi mempercepatkan keseluruhan proses permohonan.
"Tidak perlu lagi untuk menyemak dokumen satu persatu kerana sistem akan membantu mengesahkan dokumen yang dikemukakan oleh pemohon, termasuk mengenal pasti sama ada dokumen itu tulen atau sebaliknya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media sempena Sidang Kemuncak Halal Global (GHAS) anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan JAKIM serta penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof.
Sirajuddin berkata, penggunaan AI itu adalah sebahagian usaha JAKIM memperkukuh ekosistem pensijilan halal negara, khususnya ketika semakin banyak syarikat tempatan dan antarabangsa berminat mendapatkan pensijilan halal Malaysia.
Selain AI, JAKIM turut memperkenalkan MyHalal Ingredient, iaitu sistem yang membolehkan industri mengenal pasti dan mengakses maklumat berkaitan bahan ramuan yang telah mendapat pengesahan halal.
Menurutnya, melalui sistem itu, syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan atau mendapatkan pengesahan berulang bagi bahan atau ramuan yang sudah mempunyai pensijilan halal Malaysia atau daripada badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf.
"Semua maklumat berkaitan bahan itu akan tersedia dalam sistem dan ini akan menjadikan proses permohonan pensijilan halal jauh lebih pantas serta mudah," katanya.
Bagaimanapun, Sirajuddin menegaskan penggunaan AI bukan bertujuan menggantikan peranan pegawai atau proses audit halal, sebaliknya menjadi alat untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan semakan permohonan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata JAKIM turut menerima penyertaan meluas daripada badan pensijilan halal antarabangsa dalam usaha memperkukuh kerjasama serta penyelarasan standard halal di peringkat global.
Sebanyak 96 badan pensijilan halal termasuk pihak berkuasa dari 49 negara dijangka menyertai konvensyen badan pensijilan halal yang akan datang.
Katanya, selain badan pensijilan yang telah diiktiraf Malaysia, JAKIM turut membuka ruang kepada badan lain untuk mendapatkan maklumat mengenai prosedur dan standard yang perlu dipenuhi bagi memperoleh pengiktirafan.
"Permintaan terhadap maklumat pensijilan halal semakin meningkat kerana banyak syarikat antarabangsa melihat pensijilan halal Malaysia sebagai antara laluan untuk mereka menembusi pasaran global.
"Apabila produk mereka mendapat pensijilan halal yang diiktiraf, ia bukan sahaja memberi akses kepada pasaran Malaysia, malah membuka peluang ke negara lain," katanya.
Berita berkaitan
August 24, 2026, 3:25 pm
‘Tak setuju, balas dengan hujah’ – Zaid tegur DAP henti guna laporan polis untuk berdepan dengan PAS
August 24, 2026, 2:09 pm
Dr Akmal sah hadir Muktamar Pemuda Pas di Kota Bharu 3 September
August 24, 2026, 1:57 pm
MARA tubuh pasukan khas gerakkan agenda bina Hospital MARA - Asyraf Wajdi
August 24, 2026, 1:51 pm
Lebih 3,000 warga emas dikesan terbabit penyalahgunaan dadah separuh pertama tahun ini
August 24, 2026, 1:43 pm
JMF sertai sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya buat julung kali
August 24, 2026, 1:27 pm
