TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ambil kira kepentingan semua pihak, kuil setuju pindah, pembangunan persimpangan Kuang boleh diteruskan

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 24 Ogos - Kemelut membabitkan beberapa rumah ibadat di kawasan pembangunan persimpangan Kuang selesai selepas komuniti kuil bersetuju memindahkan struktur rumah ibadat berkenaan ke tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang ditetapkan.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (LIMAS), Papparaidu Veraman berkata, persefahaman itu dicapai hasil rundingan antara komuniti kuil, pihak Sime Darby, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Mohd Rafiq Mohd Abdullah, Pejabat Exco dan agensi kerajaan berkaitan.

Menurutnya, tapak baharu berkeluasan 0.72 hektar disediakan bagi menempatkan rumah ibadat terbabit, selain kemudahan sokongan termasuk platform, pagar, laluan masuk sementara dan kemudahan asas.

"Isu ini bukan semata-mata berkaitan keperluan melebarkan jalan raya, tetapi turut melibatkan kepentingan beberapa rumah ibadat yang berada di kawasan berkenaan.

"Oleh itu, penyelesaiannya memerlukan pendekatan matang, terbuka serta mengambil kira kepentingan semua pihak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, persetujuan itu bukan sekadar secara lisan apabila wakil persatuan kuil turut menandatangani aku janji berkaitan proses pengosongan dan pemindahan struktur ke tapak baharu.

Katanya, bagi salah satu persatuan kuil, surat aku janji bertarikh 5 Mac lalu turut memperincikan kerja pemindahan barangan berharga, perobohan struktur sedia ada dan pembersihan tapak.

"Penyelesaian ini membuktikan apabila semua pihak bersedia duduk semeja, mendengar pandangan masing-masing serta mengutamakan kepentingan bersama, isu kompleks juga mampu diselesaikan melalui jalan yang baik dan harmoni.

"Apabila terdapat keperluan pembangunan seperti pelebaran jalan, kita mahu pembangunan dapat diteruskan, namun pada masa sama, kepentingan rumah ibadat dan komuniti setempat terus dihormati," jelas beliau.

Papparaidu berkata, kes Kuang boleh dijadikan contoh bahawa pembangunan dan kepentingan komuniti tidak semestinya perlu dilihat sebagai dua perkara yang bertentangan.

"Kerajaan negeri akan terus menggunakan pendekatan dialog, rundingan dan persefahaman dalam menangani isu rumah ibadat bagi memastikan tiada komuniti dipinggirkan.

"Persefahaman yang dicapai ini bukanlah titik akhir, sebaliknya satu langkah penting ke arah menyelesaikan isu berkaitan rumah ibadat di Selangor secara lebih tersusun, adil dan berhemah," tambah beliau.

+ - reset