Berita Berita
UK gesa umat Islam kurangkan penggunaan air ketika wuduk, komuniti Asia ketika basuh beras
LONDON 24 Ogos - Pengawal selia industri air United Kingdom (UK) menggesa umat Islam di negara itu mengurangkan penggunaan air ketika berwuduk, manakala komuniti Asia disaran mengurangkan penggunaan air ketika mencuci beras.
Saranan itu dibuat menerusi program “Water Efficiency in Faith and Diverse Communities” yang dibiayai Ofwat, iaitu pihak berkuasa kawal selia perkhidmatan air di UK.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah kerjasama antara South Staffordshire Water, Fakulti Ketuhanan Universiti Cambridge dan Cambridge Central Mosque, selain beberapa organisasi serta syarikat air lain.
Program perintis di Cambridge menggalakkan masyarakat Islam menggunakan hanya satu liter air untuk berwuduk sebelum menunaikan solat.
Menurut Ofwat, kajian rintis itu mendapati penggunaan botol satu liter berpotensi menjimatkan sehingga 55 liter air sehari bagi setiap individu, memandangkan ada yang menggunakan sehingga 12 liter air mengalir untuk setiap sesi wuduk dan berwuduk sebanyak lima kali sehari.
Inisiatif berkenaan dianggarkan menjimatkan sehingga 5,900 liter air sehari di Cambridge.
Program itu turut mencadangkan supaya panduan berkenaan disebarkan secara meluas menerusi saluran televisyen Islam.
Bagaimanapun, laporan itu memberi amaran supaya syarikat air tidak menimbulkan gambaran seolah-olah masyarakat Islam dipersalahkan kerana membazirkan lebih banyak air berbanding komuniti lain.
Dalam pada itu, Nabi Muhammad SAW dipercayai menggunakan tidak lebih daripada satu liter air untuk berwuduk.
Satu lagi inisiatif yang menggunakan dana pembayar cukai sebanyak £270,000 (kira-kira RM1.5 juta) melibatkan cef selebriti Ping Coombes, yang memenangi MasterChef pada 2014, untuk mengajar masyarakat Asia mengurangkan penggunaan air ketika memasak dan mencuci beras.
Dalam satu video di YouTube, Coombes berkata, menjadi amalan biasa untuk mencuci beras antara lima hingga tujuh kali sehingga air menjadi jernih.
Katanya, beliau kemudian mempersoalkan sama ada amalan mencuci beras sebanyak itu benar-benar diperlukan dan memaklumkan beliau sendiri hanya mencuci beras sebanyak dua kali.
Dikritik bazir wang pembayar cukai
Bagaimanapun, inisiatif itu mengundang kritikan apabila terdapat pihak yang berpendapat syarikat air sepatutnya memberi lebih tumpuan kepada usaha membaiki infrastruktur yang mengalami kebocoran berbanding cuba mengubah amalan harian masyarakat.
Pada Julai lalu, kajian Greenpeace UK mendapati sebanyak 2.87 bilion liter air, bersamaan kapasiti kira-kira 1,150 kolam renang Olimpik, hilang setiap hari akibat kebocoran paip di England dan Wales.
Kajian itu turut mendapati jumlah air yang dibazirkan syarikat air akibat kebocoran paip adalah lima kali ganda lebih banyak berbanding jumlah air yang dapat dijimatkan menerusi larangan penggunaan hos.
Menteri bayangan Kabinet Britain, Mike Wood, menyifatkan usaha mengurangkan pembaziran air sebagai matlamat yang baik, namun mempersoalkan penggunaan wang pembayar cukai untuk program berkenaan.
“Memotong pembaziran air adalah matlamat yang mulia, tetapi isu lebih besar di sini ialah pembaziran wang pembayar cukai.
“Keluarga sudah berdepan peningkatan besar bil, dan mereka tidak akan berpuas hati apabila wang mereka dibelanjakan untuk skim pelik yang cuba mengubah amalan agama dan budaya yang sudah lama diamalkan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Ofwat berkata cuaca kering berpanjangan pada musim panas ini mengingatkan semua pihak mengenai kepentingan menggunakan air dengan lebih cekap sebagai sumber yang terhad dan berharga.
Menurutnya, program perintis itu dilaksanakan bersama syarikat air, badan amal dan pelbagai kumpulan agama bagi menyediakan cadangan praktikal yang bersesuaian untuk komuniti masing-masing.
Program itu tamat pada April 2025.
Ofwat menegaskan inisiatif berkenaan tidak menetapkan perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh masyarakat, selain tidak menjejaskan amalan ibadah atau adat keagamaan.
Pada Jun lalu, kerajaan UK turut melancarkan kempen kesedaran awam bernilai £75 juta (kira-kira RM450 juta) dikenali sebagai Let's Save Water, yang menggalakkan orang ramai mengurangkan penggunaan air harian menerusi perubahan kecil dalam kehidupan seharian.
Berita berkaitan
August 24, 2026, 9:03 pm
RM958 juta pelaburan filem, Anwar mahu suntikan lebih besar untuk industri kreatif
August 24, 2026, 5:02 pm
Alor Setar, Sungai Petani catat bacaan IPU tidak sihat
August 24, 2026, 4:46 pm
Bidaan tongkat Abdul Hadi RM16,500 bukan kerana taksub tapi jadi peringatan hidup - Muqharabbin
August 24, 2026, 3:25 pm
‘Tak setuju, balas dengan hujah’ – Zaid tegur DAP henti guna laporan polis untuk berdepan dengan PAS
August 24, 2026, 2:09 pm
Dr Akmal sah hadir Muktamar Pemuda Pas di Kota Bharu 3 September
August 24, 2026, 1:57 pm
