TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

RM958 juta pelaburan filem, Anwar mahu suntikan lebih besar untuk industri kreatif

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Kerajaan telah meningkatkan peruntukan bagi sektor filem, teater, sastera dan seni sebagai sebahagian usaha memperkukuh industri kreatif serta memperkasakan budaya negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan industri seni dan perfileman perlu diberikan ruang yang lebih terbuka supaya dapat berkembang selari dengan perubahan zaman serta kemajuan teknologi.

Menurut beliau, Malaysia tidak perlu mengikut sepenuhnya acuan Barat, namun pendekatan budaya Timur juga tidak seharusnya terlalu konservatif sehingga mengekang kreativiti penggiat seni.

“Tidak bermakna kita harus ikut acuan Barat, tetapi acuan Timur itu tidak semestinya aliran neokonservatif. Acuan Timur itu harus kekal dengan daya, budaya, nilai dan akhlak, tetapi harus lebih terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Damansara, hari ini.

Anwar berkata, generasi muda kini menginginkan suasana yang lebih bebas dan terbuka, namun perkara itu perlu diseimbangkan dengan nilai, budaya dan akhlak masyarakat.

Katanya, terlalu banyak sekatan dan syarat terhadap industri seni, khususnya perfileman, boleh menyebabkan sektor itu sukar berkembang secara optimum.

“Kalau agak terlalu tertekan dan tertutup, saya bimbang industri seni, terutama filem, tidak akan berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa seni dan budaya tidak seharusnya dijadikan alat propaganda, sebaliknya berperanan meningkatkan kesedaran, memberi pencerahan dan membina kefahaman masyarakat.

Beliau turut menekankan keperluan kerajaan memastikan kebajikan seluruh ekosistem industri seni terbela, termasuk pelakon, penggiat seni dan tenaga kerja yang terlibat dalam penghasilan sesebuah karya.

Anwar berkata, sejarah industri seni negara menunjukkan sebahagian seniman pernah berdepan kesukaran akibat pengurusan industri yang tidak teratur serta sistem yang tidak adil.

“Keadaan itu tidak seharusnya berulang dan kerajaan perlu memastikan sokongan serta pembelaan sewajarnya diberikan kepada seluruh ekosistem industri,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata kekuatan industri seni dan filem bukan sahaja menggambarkan kemampuan kreatif sesebuah negara, malah mencerminkan sikap, identiti dan budaya masyarakat.

Beliau turut mahu FINAS memainkan peranan lebih aktif dalam mendekatkan generasi muda dengan karya tempatan, termasuk filem klasik yang mempunyai nilai sejarah dan budaya.

Menurutnya, Malaysia perlu bergerak seiring perkembangan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), animasi dan kandungan digital, namun pada masa sama kekal berpaksikan bahasa, budaya, nilai dan akhlak masyarakat.

“Saya mahu Malaysia ini terangkat kerana kekuatan ekonominya dan budaya yang diperkasakan,” katanya.

+ - reset